KDN beri jaminan selesai isu teknikal MyKad - Saifuddin

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tidak akan membiarkan mana-mana penerima bantuan subsidi kerajaan yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu mengambil maklum mengenai aduan berhubung penyalahgunaan MyKad oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Saya memberi jaminan bahawa SARA adalah hak rakyat dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti.
“Sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan SARA akan dipulangkan semula kepada penerima yang terlibat setelah disahkan melalui siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Justeru, beliau berkata, pemegang MyKad yang berdepan situasi berkenaan diminta segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Tambahnya, Kementerian Kewangan (MoF) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan melaksanakan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca serta memastikan hak penerima dikembalikan.
Saifuddin berkata, KDN melalui JPN dan MoF kini sedang bekerjasama rapat bagi menyelesaikan isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad supaya pusingan seterusnya penyaluran subsidi bersasar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.
“Antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk pemadanan data MyKad yang dikemas kini secara berkala, semakan versi kad bagi mengelakkan salah guna penebusan serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, kerajaan Madani komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dilaksanakan secara telus, selamat dan adil.
“KDN bersama MoF terus menambah baik sistem pengesahan identiti dan keselamatan data agar setiap sen bantuan dikembalikan kepada rakyat yang layak tanpa gangguan, tanpa penyelewengan dan tanpa kehilangan hak,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan hak penerima subsidi kerajaan tidak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti
- Penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan SARA akan disiasat dan baki sumbangan dikembalikan kepada penerima yang layak
- Pemegang MyKad diminta membuat laporan polis jika berdepan penyalahgunaan identiti
- Kementerian Kewangan dan Jabatan Pendaftaran Negara menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca dan memastikan hak penerima dikembalikan
- KDN dan MoF bekerjasama memperbaiki sistem pengesahan identiti dan keselamatan data bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar adil dan tanpa penyelewengan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

