Lelaki Singapura cuai, pam minyak rosak ditarik kereta

JOHOR BAHRU – Tindakan cuai seorang lelaki warga Singapura yang terlupa meletakkan semula nozel selepas mengisi minyak mengundang padah apabila pam minyak di sebuah stesen minyak di sini mengalami kerosakan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.19 tengah malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 10.18 malam dan tular di media sosial.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Lexus RX yang dipandu lelaki berusia 36 tahun yang terlupa meletakkan semula nozel pam minyak selepas selesai mengisi petrol sehingga mengheret pam minyak dan menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966 bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Lelaki warga Singapura terlupa meletakkan semula nozel selepas mengisi minyak menyebabkan kerosakan pam minyak di Johor Bahru
- Kejadian berlaku pada Sabtu malam dan menjadi tular di media sosial
- Kemalangan melibatkan kereta Lexus RX dan kejadian itu berlaku pada jam 10.18 malam
- Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dengan kompaun RM300
- Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

