Lelaki warga Singapura tendang BMW didakwa hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan jenayah susulan tindakannya menendang sebuah kereta di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada 8 Jun lalu, selepas video pergaduhan di tepi jalan tersebut dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh pemilik akaun Vicky Sing.
“Video berkenaan menunjukkan dua lelaki bertengkar di lokasi kejadian sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menendang sebuah kereta.
“Kejadian dilaporkan berlaku pada 7 Jun 2025 kira-kira jam 2.39 petang, selepas suspek dikatakan membunyikan hon berulang kali kerana mendakwa laluan kenderaannya dihalang, sebelum berlaku pertengkaran mulut dan insiden kerosakan harta.
“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, kemudiannya telah membuat laporan polis dengan mendakwa keretanya jenis BMW telah ditendang oleh suspek sehingga mengalami kerosakan yang dianggarkan bernilai RM9,300,” katanya.
Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga didapati negatif.
Perintah reman selama empat hari telah dikeluarkan bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan.
Suspek akan didakwa hari ini mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau denda, atau kedua-duanya sekali; dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Polis turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini serta menyeru pengguna jalan raya agar bersikap berhemah dan mengelakkan tindakan agresif yang boleh menjejaskan keselamatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

