Ewon sedia letak jawatan menteri jika AGC fail rayuan isu 40 peratus hasil Sabah

Ewon
Ewon
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, keputusan itu selaras dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang pada Ahad, yang menuntut beliau berundur daripada Kabinet sekiranya AGC meneruskan rayuan tersebut.

“Dalam Konvensyen UPKO Penampang ini, satu resolusi telah diluluskan iaitu menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan hak 40 peratus Sabah ke atas hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah, sekali gus mengiktiraf hak perlembagaan Sabah.

“Resolusi ini turut meminta saya menyampaikan pendirian parti agar AGC tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan penghakiman tersebut, sebaliknya meminta kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah memuktamadkan persetujuan dalam tempoh 180 hari berkenaan pelaksanaan hak perlembagaan Sabah itu,” katanya.

Ujarnya, resolusi tersebut turut memintanya untuk mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya AGC memfailkan rayuan.

“Selaku Presiden Parti UPKO, saya mempunyai tanggungjawab penuh terhadap resolusi-resolusi yang diputuskan melalui konvensyen seperti ini.

“Perdana Menteri, timbalan-timbalan Perdana Menteri serta ahli-ahli Jemaah Menteri sudah pun maklum dengan pandangan saya agar AGC tidak memfailkan rayuan.

“Saya akan menegaskan pandangan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat minggu hadapan,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya terdapat keputusan lain atau tindakan yang bercanggah dengan keputusan mahkamah tersebut, beliau tidak dapat memberikan sokongan dan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersedia mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya itulah yang berlaku, sesuai dengan kehendak ahli-ahli UPKO,” katanya.

Ringkasan AI

  • Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan jika AGC rayuan terhadap hak Sabah
  • Keputusan ini selaras dengan resolusi Konvensyen UPKO Penampang yang menuntut beliau mengundur diri jika rayuan diteruskan
  • Resolusi menyokong hak Sabah atas 40 peratus hasil Persekutuan dan meminta kerajaan memuktamadkan persetujuan dalam 180 hari
  • Presiden UPKO berpendirian akan mengundurkan diri daripada Kabinet jika AGC memfailkan rayuan
  • Ewon Benedick berkata pilihan untuk mengundur diri dipengaruhi oleh sokongan kepada rakyat Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!