Influenza di Kelantan terkawal, vaksinasi bukan tanggungjawab kerajaan negeri - Exco

KOTA BHARU – Penularan wabak influenza di negeri ini masih terkawal dengan tujuh kluster melibatkan institusi sekolah dikesan setakat 15 Oktober lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, setakat ini tiada lagi keperluan untuk pemberian vaksin dilaksanakan.
“Bagaimanapun, kita akan dapatkan pandangan daripada JKNK (Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan) berhubung perkara itu.
“Saya rasa belum perlu lagi kerana ia terkawal dan tiada pertambahan. Lagipun vaksinasi bukan tanggungjawab kerajaan negeri, kena bayar sendiri,” katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Sambutan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Mydin Mall Tunjong di sini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Veterinar), Dr. Aida Muhid, dan Pengarah Veterinar Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob.
Menurut Hilmi, bagaimanapun jika JKNK menasihatkan agar vaksinasi perlu dilaksanakan, kerajaan negeri akan menuruti cadangan tersebut.
Ujarnya, jika jumlah jangkitan tidak ramai, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan pemberian vaksin percuma.
Ringkasan AI
- Penularan wabak influenza di Kelantan masih terkawal dengan tujuh kluster di sekolah
- Tiada keperluan untuk pemberian vaksin setakat ini
- Kerajaan negeri akan mengikut cadangan JKNK jika vaksinasi diperlukan
- Vaksinasi bukan tanggungjawab kerajaan negeri dan kos perlu ditanggung sendiri
- Jika jangkitan tidak banyak, pertimbangan untuk vaksin percuma mungkin dibuat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

