SPRM perkasa integriti, wujud tempat kerja bebas dadah

Junipah (dua dari kanan) pada program TEKAD 2025 dengan kerjasama AADK pada Jumaat.
Junipah (dua dari kanan) pada program TEKAD 2025 dengan kerjasama AADK pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh komitmen terhadap integriti warga kerjanya menerusi penganjuran Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) 2025.

Program dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu memberi tumpuan kepada latihan pentauliahan pengendalian ujian saringan awal air kencing kepada pegawai SPRM bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi piawaian integriti serta tatakelakuan profesional.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi berkata, program itu bukan sekadar memberikan latihan teknikal, malah memperkukuh kefahaman pegawai terhadap nilai integriti, etika dan profesionalisme ketika menjalankan tugas.

“Ujian saringan ini menuntut pematuhan terhadap piawaian integriti serta kelayakan moral tertinggi kerana ia mencerminkan imej dan kredibiliti SPRM,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sebuah hotel di sini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa serta Pegawai Bahagian Pencegahan Ibu Pejabat AADK, Masliza Omar.

Seramai 39 pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme serta Bahagian Keselamatan SPRM menyertai program berkenaan.

Program tersebut dilaksanakan selaras dengan Nota Kerjasama antara SPRM dan AADK yang dimeterai pada April lalu bagi memperkukuh kerjasama strategik ke arah mewujudkan tempat kerja bebas dadah dan bahan terlarang.

Ia menjadi platform penting dalam memperkukuh komitmen warga SPRM terhadap prinsip integriti sekali gus membentuk persekitaran kerja yang sihat, selamat dan bebas daripada pengaruh bahan terlarang.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • SPRM memperkukuh komitmen terhadap integriti melalui Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) 2025 dengan kerjasama AADK
  • Program memberi tumpuan kepada latihan pentauliahan pengendalian ujian saringan awal air kencing
  • Datuk Indera Junipah Wandi menekankan program bukan hanya latihan teknikal tetapi juga meningkatkan kefahaman nilai integriti, etika dan profesionalisme
  • Program ini dilaksanakan selaras dengan Nota Kerjasama antara SPRM dan AADK untuk memperkukuh kerjasama strategik ke arah mewujudkan tempat kerja bebas daripada dadah
  • Seramai 39 pegawai dan kakitangan dari SPRM menyertai program tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!