'Jangan cuba main api' - Amaran Putin kepada Trump berhubung penghantaran misil ke Ukraine

MOSCOW - "Sebarang penghantaran misil cruise jarak jauh Tomahawk ke Ukraine akan menjejaskan hubungan antara Moscow dan Washington."
Amaran tegas itu diberikan Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selepas timbul ura-ura tentang langkah sedemikian ketika perang Ukraine berlarutan selama lebih tiga tahun.
"Penggunaan peluru berpandu itu tidak akan mengubah situasi di medan perang sebaliknya memberi impak ketara termasuk prospek penyelesaian keamanan bersama Kiev. Jangan cuba bermain api," kata pembantu Presiden, Yuri Ushakov pada Khamis.
Beliau turut mengesahkan perbualan telefon selama lebih dua jam antara Putin dan Trump yang disifatkan sangat substantif serta sulit.
"Presiden memberikan penilaian terperinci tentang situasi semasa konflik itu seperti langkah mengekalkan 'inisiatif strategik lengkap' di sepanjang barisan hadapan.
"Trump bagaimanapun berulang kali menekankan keperluan untuk keamanan segera dan menjanjikan prospek kerjasama ekonomi antara AS dan Rusia jika Kremlin akur dengan desakan Washington supaya berdamai dengan Kiev," jelasnya.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu juga merancang untuk bertemu sekali lagi dalam sidang kemuncak yang dijadualkan di Budapest setelah kali terakhir mereka bertentang mata di Alaska pada Ogos lalu.
Pada awal bulan lalu, Trump mencetuskan provokasi terhadap Kremlin selepas beliau bercadang untuk memindahkan misil Tomahawk ke Kiev seperti yang diminta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada bulan lalu. - Agensi
Ringkasan AI
- Putin memberi amaran kepada Trump bahawa penghantaran misil Tomahawk ke Ukraine akan menjejaskan hubungan Moscow-Washington
- Penggunaan misil Tomahawk di Ukraine tidak akan ubah situasi medan perang tetapi beri impak besar kepada prospek keamanan
- Perbualan telefon antara Putin dengan Trump berlangsung lebih dua jam, disifatkan sangat substantif dan sulit
- Putin menyampaikan penilaian terperinci tentang konflik dan Trump menekankan keperluan keamanan segera serta kerjasama ekonomi
- Kedua-dua pemimpin merancang untuk bertemu di Budapest dalam sidang kemuncak setelah pertemuan terakhir di Alaska
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

