Sidang kemuncak Trump-Putin sia-sia?

ANCHORAGE - Sidang kemuncak yang paling dinantikan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin pada Jumaat gagal mencapai sebarang perjanjian untuk menghentikan perang di Ukraine.
Kedua-dua pemimpin berkenaan menyifatkan rundingan selama hampir tiga jam di Alaska itu sebagai 'produktif' dan mereka telah mencapai kemajuan dalam beberapa isu yang tidak dinyatakan.
Trump dan Putin juga mengelak untuk memberikan jawapan yang lebih terperinci ketika disoal para wartawan pada sidang media ringkas.
"Kami bersetuju dengan beberapa perkara termasuk isu penting. Perjanjian belum wujud selagi ia belum dimeterai," kata Presiden ke-47 AS itu lagi.
Rundingan yang sepatutnya membawa kepada langkah pelaksanaan gencatan bagi menamatkan konflik paling berdarah di Eropah dalam tempoh 80 tahun berakhir dengan sia-sia.
Putin berkata, beliau berharap Ukraine dan sekutu Eropah menerima keputusan sidang kemuncak AS-Rusia tersebut secara konstruktif serta tidak mengganggu kemajuan yang baru muncul.
"Saya menjangkakan kesepakatan hari ini akan menjadi 'titik rujukan' bukan hanya menyelesaikan konflik di Kiev malah membawa kepada pemulihan hubungan pragmatik antara Moscow dan Washington," jelasnya.
Tetapi, Putin juga mengulangi pendirian mereka mereka tentang tuduhan dilemparkan banyak pihak bahawa Rusia sebagai 'punca utama' konflik tersebut wajar dihapuskan bagi mencapai perjanjian damai jangka panjang seperti dikehendaki Kiev.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diakhiri dengan 'undangan' Putin untuk bertemu Trump sekali lagi di Moscow yang mungkin akan disertai Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy setelah beliau dikecualikan pada rundingan kali ini.
Zelenskyy berulang kali mempersoalkan tindakan AS-Rusia yang mengetepikan beliau dalam proses damai tersebut.
"Sudah tiba masanya menamatkan perang dan langkah yang wajar perlu diambil Moscow. Kami menaruh harapan kepada Washington," katanya
Ketika sidang kemuncak luar biasa itu berlangsung, Moscow dan Kiev dilaporkan terus memperhebatkan serangan udara ke wilayah musuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

