Sabah main peranan eratkan hubungan dengan negara jiran

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah, akan terus menjalin dan mengukuhkan hubungan dengan negara jiran Malaysia termasuk Indonesia untuk kebaikan kedua-dua pihak.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata baginya apa sahaja usaha yang boleh membawa kebaikan dan keuntungan kepada Malaysia, khasnya Sabah dan Indonesia perlu dialu-alukan.

“Kita perlu eratkan hubungan antara kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia, Sabah khasnya. Kalau Sabah boleh memainkan peranan (mengeratkan hubungan ini), Alhamdulillah. Inilah tujuan kita eratkan perhubungan supaya (demi) keuntungan kepada negara Malaysia, negeri Sabah dan juga Indonesia,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Republik Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana di pejabatnya di sini hari ini. Turut hadir ialah Gabenor Sulawesi Utara Olly Dondokambey.

Menurut Mohd Shafie antara sektor yang boleh dibangunkan kedua-dua pihak ialah sektor pelancongan di Sabah dan Sulawesi Utara khususnya Manado dan idea ini mungkin boleh direalisasikan melalui khidmat penerbangan AirAsia dan juga Malindo Air.

Menurut Mohd Shafie hubungan baik Sabah dan Indonesia juga perlu terus dieratkan memandangkan Sabah masih bergantung kepada tenaga kerja dari negara berkenaan terutama dalam sektor perladangan.

“Kita juga sedar, di sini ramai pekerja Indonesia. Jadi kita perlukan mereka untuk bekerja di ladang-ladang kerana mereka mempunyai kepakaran dan komitmen yang cukup baik.

“Tanpa pertolongan ini, sudah pasti kita akan berhadapan dengan masalah. Jadi perlu kita eratkan hubungan kita,” kata Mohd Shafie. – Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia