Penguat kuasa syariah JHEAT kawal di masjid dan surau

Kakitangan JHEAT yang bertugas sedang menampal notis pemberitahuan kepada jemaah di salah sebuah masjid Foto: ehsan JHEAT
Kakitangan JHEAT yang bertugas sedang menampal notis pemberitahuan kepada jemaah di salah sebuah masjid Foto: ehsan JHEAT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 100 anggota penguat kuasa syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ditugaskan memantau di lebih 2,000 buah masjid dan surau di negeri ini bagi memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Syariah Terengganu, Mohd Adnan Abdullah berkata, pemantauan dijalankan secara berterusan setiap kali masuk waktu solat fardu terutama di masjid yang jemaahnya dikesan masih tidak akur dengan perintah dikeluarkan.

Bagaimanapun katanya, hasil tinjauan dijalankan, jemaah tetap ke masjid dan surau hanya pada hari pertama dan kedua dalam tempoh perintah kawalan tersebut berkuat kuasa.

"Pelbagai alasan diberikan setiap kali ditanya anggota penguat kuasa bertugas. Ada yang mempertikaikan kenapa tidak boleh pergi ke rumah ibadah selain ada juga yang memberi jawapan kurang 'jelas' akan arahan diberikan.

"Bagaimanapun, pada hari seterusnya dan sehingga hari ini, kita dapati jemaah makin sedar dan faham dengan perintah ini apabila mereka mula akur dan tidak lagi datang untuk menunaikan solat berjemaah yang ditangguhkan sementara dalam tempoh PKP.

"Termasuk juga pada solat Jumaat lalu, jika diikutkan ada yang datang untuk menunaikan solat Jumaat tetapi selepas diingatkan dan diberi nasihat, mereka memberi kerjasama baik dengan terus balik ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Adnan berkata, pihaknya juga mengeluarkan arahan kepada semua jawatankuasa masjid dan surau supaya melekatkan notis pemberitahuan berhubung tiada sebarang aktiviti dilakukan sepanjang tempoh PKP.

"Hasil pemantauan kami didapati semua jawatankuasa masjid dan surau mematuhi arahan dikeluarkan dengan meletakkan notis pemberitahuan di tempat-tempat yang mudah dilihat jemaah terutama di pintu masuk dan di papan kenyataan disediakan selain ada juga yang menampalnya di pintu pagar utama.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kami mengarahkan semua imam dan bilal bertugas yang akan melaungkan azan setiap kali waktu solat supaya mengunci pintu pagar dan kunci pintu utama untuk mengelakkan ada jemaah masuk ketika mereka sedang azan.

"Ini kerana hari ini, tujuan azan dilaungkan adalah untuk memberitahu sudah masuk waktu solat dan mereka mestilah menunaikannya di rumah masing-masing," katanya.

Jelasnya, bagi individu yang enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mengikut arahan dikeluarkan, tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama akan diambil.

"Di bawah kesalahan mengikut Seksyen 10 ialah individu yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan semua aktiviti keagamaan di rumah ibadah di negara ini termasuk masjid dan surau ditangguhkan sementara sebagai langkah keselamatan bagi mengelak jangkitan koronavirus (Covid-19).