250 pek makanan diagih kepada keluarga memerlukan
SELAYANG - Sebanyak 250 pek makanan keperluan asas disediakan oleh Surau Hidayatul Mustaqim di sini bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.
Pengerusi Surau Hidayatul Mustaqim, Azizan Md Ali berkata, orang awam yang memerlukan bantuan itu boleh mengambilnya di surau itu pada jam 2 petang ini.
"Pihak kami menyediakan sumbangan makanan buat ahli kariah Surau Hidayatul Mustaqim, Surau Al-Khairiah, Surau Selayang Permai, Surau Al-Mukmin dan Selayang Jati.
"Sumbangan ini boleh di jam 2 petang hari ini. Sumbangan ini adalah terhad kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja," katanya.
Katanya, agihan bantuan itu adalah hasil sumbangan daripada orang ramai yang dikembalikan dalam bentuk keperluan makanan dengan konsep berkongsi rezeki, membantu orang yang dalam kesusahan.
Terdahulu, Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuat kuasa pada 18 Mac lalu selama dua minggu sebagai langkah kerajaan memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).
Susulan itu, sektor yang dikategorikan sebagai bukan keutamaan (essential) diminta menghentikan operasi dengan melakukan kuarantin di rumah sepanjang tempoh itu.
Selain memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan, beberapa pihak termasuk orang perseorangan turut memainkan peranan menghulur bantuan kepada orang awam yang terjejas pendapatan susulan terikat dengan pematuhan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!