KDEBWM tampil beri penjelasan kepada APAD insiden lori sampah

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan (empat dari kanan) menyerahkan laporan kajian kepada Ramli (tiga dari kiri) pada Jumaat.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan (empat dari kanan) menyerahkan laporan kajian kepada Ramli (tiga dari kiri) pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan KDEB Waste Management (KDEBWM) pada Selasa lalu bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung isu membabitkan lori sampah milik syarikat terbabit.

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pertemuan bersama APAD itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak menjelaskan situasi dan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

"Saya telah didatangi APAD ke pejabat dan telah berbincang hampir separuh hari, malah saya juga terangkan (keadaan yang berlaku) dan kita sama-sama cari jalan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Laporan Kajian, Penyerahan Dana Sumbangan dan Pelancaran Sistem Pengurusan TVET UUM-KDEBWM di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, dua hari selepas pertemuan itu, pasukan audit Kod Tata Amalan Industri (ICOP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut hadir ke pejabat KDEBWM untuk melakukan semakan serta temu bual bersama pengurusan syarikat.

“Saya telah ditemu bual dan berikan kenyataan penuh kepada pihak JPJ dan dimaklumkan akan dipanggil oleh Ketua Pengarah JPJ pada 21 Oktober ini untuk memberi penjelasan lanjut," jelas beliau

Ramli menegaskan, KDEBWM mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan sedang memperketatkan semula prosedur dan kawalan dalaman melibatkan pengendalian lori sampah di seluruh Selangor.

"Kami telah mengenal pasti punca kelemahan, memberi amaran keras kepada vendor yang gagal mematuhi tatakelola kerja serta mengambil tindakan termasuk penggantungan atau penamatan kontrak," jelas beliau.

Beliau memberitahu, model perniagaan KDEBWM berbeza daripada konsesi lain kerana semua aset lori dibeli atas nama KDEBWM walaupun dikendalikan vendor pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, setiap tanggungjawab tetap di bawah KDEBWM dan kami sudah ada SLA (perjanjian perkhidmatan) yang jelas dengan vendor termasuk kawalan terhadap lesen pemandu, penyelenggaraan kenderaan dan pematuhan keselamatan,” katanya.

Menurut Ramli, pihaknya juga sedang memperkukuh pemantauan berkala, memastikan semua pemandu memiliki lesen kenderaan barangan (GDL) sah serta menambah baik piawaian operasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Saya mohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab penuh. KDEBWM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kecekapan operasi sentiasa terjamin,” katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, JPJ akan memanggil pengurusan KDEBWM dalam masa terdekat berhubung isu membabitkan lori sampah milik syarikat terbabit.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini bagi memberikan amaran agar syarikat terbabit melakukan tindakan segera dalam memperbetulkan kesalahan dilakukan lori sampah syarikat berkenaan.

Ringkasan AI

  • APAD mengadakan pertemuan dengan pengurusan KDEBWM untuk membahas isu lori sampah
  • Pasukan audit Kod Tata Amalan Industri turut melakukan semakan dan temu bual di KDEBWM
  • KDEBWM mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memperketatkan prosedur kawalan dalaman
  • KDEBWM memiliki SLA jelas dengan vendor termasuk kawalan terhadap lesen pemandu dan pematuhan keselamatan
  • KDEBWM bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan dan kecekapan operasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!