Johor alukan sumbangan tangani krisis Covid-19

Vidyananthan mengadakan sidang akhbar secara langsung di pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, berkenaan perkembangan kes Covid-19 dan sumbangan yang boleh disalurkan orang ramai.
Vidyananthan mengadakan sidang akhbar secara langsung di pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, berkenaan perkembangan kes Covid-19 dan sumbangan yang boleh disalurkan orang ramai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan untuk Tabung Bencana Negeri Johor sebelum disalurkan bagi membantu merawat pesakit dan menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, mana-mana pihak boleh memberi sumbangan kewangan, perubatan dan barang-barang menerusi beberapa pihak yang dilantik untuk menyelaraskan sumbangan itu.

"Bagi sumbangan kewangan boleh disalurkan ke akaun Sumbangan Perubatan KKM 2-66016-0002347-5 RHB Bank. Sumbangan ini bagi membeli alat-alat kelengkapan perubatan, keperluan ubat-ubatan, reagen, bahan pakai buang dan keperluan keperluan perubatan lain yang berkaitan fasiliti.

"Sumbangan peralatan perubatan di fasiliti kesihatan pula boleh disalur ke Bahagian Kesihatan Awam: 07-2382217 dengan menghubungi Dr Lily Rafidah Mohamed Zaki atau Bahagian Perubatan 07-2245211 dengan menghubungi Dr Sukhaila Daros.

"Sumbangan ini boleh dibuat pada waktu pejabat dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Sumbangan barang lain pula boleh disalur kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam satu sidang akhbar secara langsung di pejabatnya di sini hari ini.

Vidyananthan berkata, saluran bantuan tersebut diselaraskan kerana kerajaan negeri sebelum ini menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada masyarakat untuk bersama-sama membantu kerajaan menangani wabak itu di Johor.

Katanya, selain sumbangan tersebut kerajaan negeri ada menerima peruntukan sebanyak RM130 juta dalam membantu menangani krisis Covid-19.

Sehingga semalam beliau berkata,Johor melaporkan 158 kes Covid-19 melibatkan dua kes kematian iaitu pertama pada 17 Mac lalu dan kedua melibatkan seorang lelaki berumur 70 tahun yang dimasukkan ke Hospital Hajjah Enche’ Besar Khalsom, Kluang dan meninggal dunia semalam.

Artikel Berkaitan:

Vidyananthan berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua mangsa tersebut.

Pada masa sama pihaknya merakamkan penghargaan kepada pihak swasta mahupun individu perseorangan kerana sudi menghulurkan sumbangan.

"Kerajaan negeri juga menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mengurniakan sumbangan berupa wang tunai untuk daerah di Johor, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor," katanya.