Kahwin dengan anak bekas isteri, apakah ia sah?

DALAM bab perkahwinan atau munakahat, kadangkala kita sebagai orang awam terkeliru dengan hukum-hakam berkaitan dengannya.
Salah satu persoalan yang sering ditanyakan termasuklah apakah sah kahwin dengan anak perempuan yang lahir daripada bekas isteri?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, semua anak yang lahir sebelum atau selepas perkahwinan dengan seorang wanita dan telah melakukan persetubuhan badan dengannya, dikelaskan sebagai anak tiri.
“Bila kita dah kahwin dengan seorang janda dan sudah jimak (bersetubuh) dengannya, maka anak-anaknya daripada perkahwinan sebelumnya dikira sebagai anak tiri.
“Begitu juga apabila kita telah menceraikan seorang wanita dan dia telah berkahwin lain dan mempunyai anak, anak tersebut juga dikira anak tiri,” katanya dalam rakaman video di YouTubenya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, anak tiri merupakan mahram dan haram berkahwin dengan mahram.
Bagaimanapun katanya, jika kita berkahwin dengan seorang janda dan belum melakukan jimak dengannya, anak perempuannya masih belum dikira sebagai anak tiri.
“Statusnya ialah anak kepada isteri kita kerana masih belum melakukan jimak. Jika sudah jimak maka haram berkahwin dengannya.
“Jika dia anak isteri kita yang belum disetubuhi, maka kita boleh ceraikan isteri dan kahwin dengan anaknya kerana anak perempuan isteri itu belum jadi anak tiri kita lagi,” jelasnya.
Sebagai contoh katanya, kita berkahwin dengan seorang wanita berumur 40 tahun.

“Selepas kahwin, isteri bagitahu dia anak perempuan berumur 20 tahun. Kita terus ceraikan isteri sebelum melakukan jimak dengannya dan kita boleh kahwin dengan anak perempuan bekas isteri itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

