Perbicaraan kes cerai, rujuk Nubhan dan isteri Disember depan

Permohonan pengesahan penceraian dan rujuk Nubhan bersama isterinya, Afifah Hidayah akan berlangsung pada 2 Disember depan.
Permohonan pengesahan penceraian dan rujuk Nubhan bersama isterinya, Afifah Hidayah akan berlangsung pada 2 Disember depan.
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Permohonan pengesahan penceraian dan rujuk membabitkan penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad bersama isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek akan berlangsung pada 2 Disember depan.

Perkara itu ditetapkan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Muhamad Nazri Basrawi ketika kes disebut di hadapannya pada Khamis.

Terdahulu dalam prosiding, Nubhan selaku plaintif yang diwakili peguamnya, Mohd Ridzuan Ramli memaklumkan kepada mahkamah terdapat dua kes penceraian dan satu rujuk dalam permohonan yang dibuat.

Jelasnya, penceraian pertama berlaku sekitar 2017 sebelum kedua-dua pihak rujuk kembali beberapa hari selepas itu namun tidak membuat sebarang pengesahan di mahkamah.

Sementara itu, peguam defendan, Datuk Akberdin Abdul Kadir membangkitkan isu talak pertama dan rujuk yang pada pendapatnya ia perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mahkamah mendengar kes penceraian terkini.

"Saya dapati sepatutnya talak pertama dan rujuk diselesaikan terlebih dahulu. Kalau tidak, kita tidak mempunyai 'kaki untuk berdiri' (bagi permohonan cerai terkini)," katanya.

Selain itu, Akberdin turut membangkitkan isu bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah Sepang memandangkan rumah kelamin yang didiami pasangan tersebut adalah di Seremban.

Ia susulan Ahmad Nubhan menggunakan alamat kediaman di Dengkil, Selangor.

"Sewaktu lafaz cerai pada Ogos lalu, plaintif dan defendan tinggal di alamat yang dinyatakan (Seremban).

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan fakta baharu, alamat di dalam dokumen pengesahan permastautinan adalah dipercayai milik sepupu plaintif. Plaintif tidak pernah tinggal di sana selama mereka berkahwin dan anak guam juga tidak pernah berkunjung ke alamat berkenaan," jelasnya.

Dalam pada itu, Hakim, Muhamad Nazri membenarkan pengesahan lafaz cerai pertama kali dan rujuk serta cerai kali kedua didengar secara bersekali pada prosiding akan datang serta mengarahkan pihak plaintif memasukkan suatu relief peruntukan di bawah Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).

Menyentuh mengenai bidang kuasa, beliau berkata, dokumen permastautinan yang dikemukakan plaintif telah disahkan ketua kampung Mukim Dengkil yang mana ia bidang kuasa mahkamah berkenaan.

"Ini bermaksud mahkamah ada bidang kuasa berdasarkan surat akuan, mahkamah percaya ada kuasa untuk mendengar serta memutuskan kes ini," katanya.

Terdahulu, Ahmad Nubhan tiba di pekarangan mahkamah jam 9.40 pagi disusuli isterinya lima minit kemudian.

Ahmad Nubhan dan Dr Afifah yang juga doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.

Ringkasan AI

  • Permohonan pengesahan penceraian dan rujuk Ahmad Nubhan Ahamad dan Dr Afifah Hidayah Tawfek akan berlangsung pada 2 Disember
  • Ditetapkan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Muhamad Nazri Basrawi
  • Kes disebut di hadapan hakim pada Khamis
  • Nubhan sebagai plaintif diwakili oleh peguam Mohd Ridzuan Ramli
  • Terdapat dua kes penceraian dan satu rujuk dalam permohonan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!