Covid-19: Anggota Rela berkorban demi rakyat Malaysia

Anggota Rela Wilayah Persekutuan Labuan meletakkan poster pencegahan Covid-19 di Terminal Feri Antarabangsa Labuan. -Foto Bernama
Anggota Rela Wilayah Persekutuan Labuan meletakkan poster pencegahan Covid-19 di Terminal Feri Antarabangsa Labuan. -Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Petugas keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan pelbagai agensi yang kini berada di barisan hadapan memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19) sememangnya adalah hero semua rakyat Malaysia.

Tidak terkecuali dalam senarai ‘hero negara’ ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang turut sama membantu PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan dan banyak lagi agensi penguat kuasa lain menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

Anggota Rela yang disertai pelbagai latar belakang kerjaya, kini berkorban meninggalkan keluarga dan membahayakan diri berdepan dengan risiko jangkitan wabak Covid-19 meskipun mereka diberi cuti oleh majikan dalam kerjaya masing-masing.

Seorang anggota Rela Perlis, Hafizul Khalid, 35, dari Jejawi yang juga seorang guru berkata, walaupun diberi cuti sepanjang tempoh PKP, beliau tidak pulang ke kampung dan sanggup berjauhan dengan isterinya yang tinggal di Sungai Petani, Kedah demi tugas.

“Bagi mengubat rindu kepada keluarga tersayang, saya akan buat panggilan video setiap kali habis bertugas...walaupun masa bersama keluarga penting bagi seorang bapa, amanah berbakti kepada rakyat lebih menjadi keutamaan saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Turut berkongsi pengalaman, Kong Heng Guan, 41, dari Jejawi berkata, beliau minat dengan tugas sukarela ini meskipun mendapat cemuhan daripada segelintir masyarakat.

“Saya faham ramai yang tertekan dengan keadaan sekarang, namun saya tidak ambil hati dengan apa yang mereka katakan. Bagi saya apa yang lebih penting adalah dapat membantu semua orang agar patuh dengan arahan PKP,” katanya yang bekerja sebagai buruh kasar.

Sementara itu, Pengarah Rela Perlis Ahmad Muazzan Shah Mohd Salleh berkata, pihaknya telah mengerahkan seramai 200 anggota untuk bertugas di ketiga-tiga daerah iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau sepanjang pelaksanaan PKP yang bermula sejak 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua anggota yang digerakkan lengkap dengan penutup hidung dan mulut serta sarung tangan yang membantu pasukan polis dan tentera menjalankan penguatkuasaan PKP.

“Buat masa ini, kira-kira 46,000 ahli yang berdaftar dengan kita (Rela). Namun, 200 yang kita gerakkan ini telah lengkap menghadiri pelbagai kursus terutamanya melengkapkan diri mereka dengan modul ‘Crisis Respond Team’ (CRT).

“Modul ini berupaya mempersiapkan anggota Rela untuk menghadapi sebarang bencana seperti banjir, hal-hal kecemasan serta pembendungan wabak seperti Covid-19,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama hari ini.

Ahmad Muazzan Shah berkata, anggota Rela bekerjasama dengan polis dan tentera yang menggunakan peraturan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang juga dikenali sebagai Akta 342. - Bernama