Bilik gerakan pantau kebajikan pelajar UIAM

Agihan makanan kepada pelajar UIAM yang berada di kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
Agihan makanan kepada pelajar UIAM yang berada di kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
A
A
A

GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan bilik gerakan bagi tujuan operasi bantuan termasuk agihan makanan kepada pelajarnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Pegawai Perhubungan Awam UIAM, Roslan Rusly berkata, bilik gerakan itu diuruskan bersama sukarelawan sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan sebelum diedarkan kepada kampus kediaman secara berperingkat.

Menurutnya, seramai 2,071 pelajar tempatan dan 1,233 pelajar antarabangsa kini menginap di lima kampus seluruh negara dengan kesemua mereka patuh dan akur terhadap garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan untuk terus berada dalam kampus.

"UIAM juga mengambil inisiatif menyalurkan bantuan makanan dan barang keperluan asas pelajar di kampus Gombak, Kuantan, Gambang, Pagoh dan Kuala Lumpur.

“Ia untuk memastikan supaya semua pelajar dijaga dengan baik selain mengurangkan pergerakan serta menjaga keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Roslan berkata, pelbagai bantuan turut diterima oleh pelajar berkenaan termasuk daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta orang perseorangan.

Katanya, kemudahan sedia ada seperti pusat kesihatan UIAM, pejabat pengurusan keselamatan dan kafeteria (bungkus sahaja) beroperasi seperti biasa.

Sehubungan itu, beliau turut meminta ibu bapa tidak bimbang dengan keadaan anak mereka di kampus memandangkan pengurusan UIAM mengambil langkah perlu bagi memastikan pelajarnya dipantau dan berada dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan: