Wanita cari ibu kandung anak angkat untuk urusan dokumen

SHAH ALAM - Seorang wanita yang membesarkan kanak-kanak lelaki sejak bayi merayu agar ibu kandung Muhammad Qayyum Faqrullah Abdullah, 12, tampil demi memudahkan urusan dokumen pengenalan diri dan masa depan persekolahannya.
Suzana Mohd Semeon, 37, berkata, Muhammad Qayyum mula dijaganya sejak berusia 44 hari selepas mengambilnya daripada ibu kandung pada 15 Jun 2013.
"Saya mengambil Qayyum yang ketika itu masih bayi dalam keadaan kurang sihat dan tinggal di kediaman daif.
"Sejak itu, saya menjaga dan menyayanginya seperti anak sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Suzana yang menetap di Kuala Selangor berkata, dokumen yang ada padanya ketika ini hanyalah salinan kad pengenalan ibu kandung Muhammad Qayyum.
Jelasnya, usaha pencarian ibu Muhammad Qayyum itu dilakukan bagi memudahkan urusan membuat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Saya tidak berniat lain, hanya mahu memastikan masa depan Qayyum terjamin sebagai warganegara," katanya.
Katanya, dia pernah cuba menjejaki ibu kandung Muhammad Qayyum di alamat lama, namun difahamkan wanita itu sudah berpindah dan tidak lagi tinggal di kawasan berkenaan.
"Saya merayu kepada ibu kandung atau ahli keluarga Qayyum hubungi saya segera demi kebaikan anak ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita merayu agar ibu kandung Muhammad Qayyum Faqrullah Abdullah, 12, tampil untuk memudahkan urusan dokumen pengenalan diri
- Muhammad Qayyum dijaga sejak berusia 44 hari selepas diambil daripada ibu kandung pada 15 Jun 2013
- Suzana Mohd Semeon menjaga Qayyum seperti anak sendiri sejak mengambilnya dalam keadaan kurang sihat
- Usaha mencari ibu kandung Qayyum dilakukan untuk memudahkan pembuatan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara
- Suzana telah mencuba menjejaki ibu kandung Qayyum di alamat lama tetapi wanita itu sudah berpindah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


