Sekolah bukan lagi tempat selamat?

Satu kes bunuh melibatkan mangsa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
Satu kes bunuh melibatkan mangsa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

KEJADIAN tragis yang melibatkan pelajar sekolah menengah sejak kebelakangan ini menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan dan moral generasi muda.

Belum reda isu pelajar Tingkatan Tiga dirogol bergilir-gilir oleh senior dalam kelas di Melaka, negara dikejutkan pula dengan kes pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya pada Selasa.

Dua kejadian terbabit menggoncang keyakinan masyarakat terhadap persekitaran sekolah sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak.

Kes rogol yang berlaku dalam bilik darjah dan dirakam video memperlihatkan bagaimana ruang pembelajaran boleh bertukar menjadi lokasi jenayah seksual yang kejam.

Belum sempat masyarakat pulih daripada kejutan itu, kes tikaman di sekolah di Selangor pula membuka lembaran baru tentang bahaya senjata dan keganasan dalam kalangan pelajar.

Mangsa maut akibat ditikam pelajar lelaki menggunakan pisau yang dibawa ke sekolah.

Jika sebelum ini kes buli mendominasi perbincangan, kini tahap keganasan meningkat ke tahap rogol serta membunuh dan ia berlaku di dalam kawasan sekolah.

Insiden-insiden itu memaksa kita mengakui hakikat bahawa sekolah kini bukan lagi zon selamat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu keselamatan sekolah, manakala kerajaan negeri Selangor berjanji mempertingkat kawalan di semua sekolah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tindakan pasca-tragedi itu belum cukup jika tidak disertai perubahan struktur termasuk audit keselamatan berkala, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sensitif, serta peraturan tegas melarang pelajar membawa telefon bimbit dan senjata tajam.

Isu terbabit turut menuntut semua pihak dari ibu bapa, sekolah, kerajaan dan masyarakat untuk kembali melihat sekolah bukan sekadar tempat akademik, tetapi ruang membentuk manusia.

Justeru, saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sekolah kekal menjadi ruang selamat dan kondusif perlu diberi perhatian.

Jika nilai, empati dan disiplin tidak dipupuk dengan konsisten, tragedi seperti itu akan terus berulang.

Sudah tiba masanya kita bertindak, bukan selepas nyawa melayang, tetapi sebelum sekolah kehilangan makna sebenarnya sebagai tempat yang selamat dan mendidik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!