'Port' pelajar sekolah melepak kena gempur, enam saman dikeluarkan

JOHOR BAHRU – Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengeluarkan enam saman terhadap pelajar sekolah atas kesalahan trafik menerusi Op Didik di Taman Puteri Wangsa di sini pada Selasa
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi selama satu jam setengah bermula jam 1 petang itu dijalankan hasil aduan guru disiplin berhubung pelajar yang sering melepak selepas tamat waktu sekolah.
Menurutnya, seramai sembilan anggota Balai Polis Taman Pelangi Indah terlibat dalam operasi tersebut.
“Sebanyak 19 motosikal diperiksa melibatkan 29 pelajar sekolah.
"Hasil pemeriksaan, empat saman dikeluarkan kerana tiada cermin sisi manakala dua saman lagi kerana tiada nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi berkenaan merupakan inisiatif komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.
“Selain pemeriksaan, polis turut memberikan teguran serta nasihat kepada pelajar terlibat bagi memastikan mereka mengamalkan pemanduan berhemah, memakai topi keledar dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.
Raub berkata, usaha itu diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan pelajar serta meningkatkan kesedaran sivik remaja.
“IPD Johor Bahru Selatan akan meneruskan program pencegahan dan pendidikan secara berkala khususnya di kawasan sekolah dan lokasi tumpuan pelajar bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Ringkasan AI
- Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengeluarkan enam saman atas kesalahan trafik kepada pelajar sekolah
- Operasi berlangsung selama satu jam setengah di Taman Puteri Wangsa
- Sembilan anggota polis dari Balai Polis Taman Pelangi Indah terlibat dalam operasi
- Seramai 29 pelajar sekolah terlibat dengan 19 motosikal diperiksa
- Operasi ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

