Kes tikam di sekolah, isyarat jelas kepada KPM - Beliawanis MCA

SHAH ALAM - Kes tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama yang meragut nyawa seorang pelajar Tingkatan Empat menjadi isyarat jelas kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperketat keselamatan dan memperkukuh pendidikan sahsiah serta emosi pelajar.
Pengerusi Beliawanis MCA, Ivone Low berkata, pihaknya amat terkejut dan berdukacita dengan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua menikam pelajar Tingkatan Empat itu.
“Tiada ibu bapa sepatutnya menerima berita ngeri tentang anak mereka terutamanya dari tempat yang seharusnya kekal sebagai ruang selamat untuk belajar dan membesar.
"Kejadian itu berlaku ketika masyarakat masih dibelenggu kebimbangan terhadap isu keselamatan pelajar, susulan laporan kes rogol beramai-ramai di Melaka melibatkan pelajar sekolah baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar Ivone, pihaknya mengecam semua bentuk keganasan khususnya di dalam sekolah dan institusi itu mestilah menjadi persekitaran untuk kanak-kanak dilindungi, diasuh dan dibimbing, bukannya ruang yang mengundang bahaya.
Justeru, Ivone mempersoalkan bagaimana pelajar boleh membawa objek berbahaya ke kawasan sekolah tanpa dikesan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan prosedur keselamatan sedia ada.
Beliau berpandangan, perkara ini menunjukkan keperluan memperketat langkah pencegahan dan memastikan kawalan keselamatan di sekolah dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Ivone mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi gambar atau video berkaitan insiden berkenaan demi menghormati keluarga mangsa dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Beliau menggesa KPM menilai semula prosedur keselamatan serta memperkukuh sistem sokongan psikologi dan pemantauan emosi pelajar bagi mengesan lebih awal mereka yang berdepan tekanan atau masalah tingkah laku.
“Nilai empati, belas kasihan dan toleransi perlu dipupuk sejak kecil dan nilai berkenaan adalah penting seperti mana kejayaan akademik bagi membentuk generasi yang lebih penyayang dan berakhlak,” ujarnya lagi.
Menurutnya, tragedi terbabit seharusnya menjadi titik tolak kepada pembaharuan menyeluruh dalam sistem pendidikan agar keselamatan dan kesejahteraan pelajar menjadi keutamaan utama.
Tegas beliau, masyarakat tidak boleh menunggu satu lagi nyawa melayang sebelum bertindak.
Ringkasan AI
- Kes tikam di sekolah menengah di Bandar Utama membunuh pelajar Tingkatan Empat
- Pengerusi Beliawanis MCA meminta KPM memperketat keselamatan dan pendidikan sahsiah serta emosi pelajar
- Ivone Low mengecam keganasan dalam sekolah dan mempersoalkan keberkesanan prosedur keselamatan
- Beliau menggesa tidak berkongsi gambar atau video insiden dan meminta KPM menilai semula prosedur keselamatan
- Menyeru nilai empati, belas kasihan, dan toleransi perlu dipupuk bagi membentuk generasi penyayang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

