Pelajar maut ditikam: Polis rekod keterangan pelajar di sekolah

Shamsudin bersama pegawainya meninjau proses siasatan di lokasi kejadian kes bunuh di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
Shamsudin bersama pegawainya meninjau proses siasatan di lokasi kejadian kes bunuh di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis mengambil keterangan beberapa pelajar bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas (task force) membabitkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi menyiasat kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan dijalankan secara teliti dan menyeluruh meliputi pelbagai aspek termasuk pemeriksaan lokasi kejadian, rakaman keterangan saksi serta pengumpulan bahan bukti.

“Kita masih menjalankan proses rakaman keterangan pelajar bagi membantu siasatan. Kalau boleh, kita mahu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

“Suspek berusia 14 tahun, manakala mangsa berusia 16 tahun dan kedua-duanya belajar di kelas peralihan masing-masing di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditikam bertubi-tubi menggunakan dua jenis senjata berbeza.

“Kita lihat memang ada banyak kesan tikaman, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan.

“Proses bedah siasat sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa,” ujarnya.

Tinjauan Sinar Harian di pekarangan sekolah terbabit kira-kira jam 4.30 petang mendapati beberapa ibu bapa hadir untuk menjemput anak mereka selepas sesi rakaman keterangan selesai.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, proses berkenaan membabitkan beberapa pelajar dari dua kelas sekolah tersebut.

Seorang ibu pelajar yang ditemui berkata, anak perempuannya yang berusia 13 tahun antara yang dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Anak saya masih berada di kawasan sekolah untuk memberi keterangan dan pihak sekolah telah memaklumkan perkara itu lebih awal,” katanya.

Ringkasan AI

  • Polis mengambil keterangan beberapa pelajar untuk siasatan kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama
  • Pasukan khas dibentuk melibatkan pegawai dan anggota dari IPD Petaling Jaya dan IPK Selangor
  • Siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan lokasi dan pengumpulan bahan bukti
  • Suspek berusia 14 tahun dan mangsa di kelas peralihan Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga
  • Mangsa ditikam menggunakan dua jenis senjata berbeza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!