[VIDEO] Kes pelajar ditikam: Pentadbir sekolah akan dipindah ke PPD - KP Pendidikan

A
A
A

PUTRAJAYA - Pentadbir sekolah menengah di Petaling Jaya yang terbabit kes kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada Selasa, akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan kes selesai dijalankan, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Bercakap pada sidang media khas di sini pada Selasa, Mohd Azam berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melihat kaedah bersesuaian bagi melakukan pemindahan tersebut agar berjalan lancar tanpa mengganggu proses pembelajaran di sekolah itu.

"Memang kita akan ambil tindakan (secepat mungkin) sebab siasatan perlu dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, KPM telah menggerakkan pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling ke sekolah berkenaan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.

"Kita dah gerakkan pasukan kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling. Jadi ibu bapa atau masyarakat tak perlu bimbang, KPM telah mengambil tindakan ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pentadbir sekolah menengah di Petaling Jaya dipindahkan ke PPD sementara siasatan kes kematian pelajar berusia 16 tahun
  • Kementerian Pendidikan menyediakan pasukan kaunselor untuk sokongan psikososial di sekolah tersebut
  • Tindakan pemindahan pentadbir diambil untuk tidak mengganggu proses pembelajaran
  • Siasatan kes kematian perlu dilaksanakan dengan segera
  • Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut disyaki ditikam oleh pelajar lelaki berumur 14 tahun di sekolah tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!