Kes tikam pelajar: Ibu bapa sokong kawalan keselamatan sekolah diperketat

PETALING JAYA - Majoriti ibu bapa menyokong langkah kerajaan Selangor memperketat tahap keselamatan di sekolah susulan insiden tragis seorang pelajar perempuan maut ditikam oleh pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Selasa.
Mereka berpendapat, langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat selamat untuk anak-anak menimba ilmu tanpa rasa bimbang.
Seorang ibu, Norsham Mustafar, 57, dari Damansara Perdana berkata, kejadian itu mengejutkan ramai pihak dan membuktikan bahawa isu keselamatan serta kesejahteraan mental pelajar perlu diberi perhatian serius.
“Kes seperti ini sangat membimbangkan. Kami ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan mereka selamat, jadi sudah tiba masanya kerajaan dan pihak sekolah memperketat kawalan keselamatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, seorang bapa, Nik Man, 56, dari Damansara berkata, inisiatif kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan komuniti setempat amat dialu-alukan.
“Langkah seperti menempatkan pegawai keselamatan terlatih atau menjalankan pemeriksaan rawak boleh membantu mencegah kejadian tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi bapa pelajar, Mohd Nazri Ibrahim, 41, dari Damansara Perdana, mencadangkan agar pendekatan disiplin di sekolah dikembalikan seperti suasana era 1980-an yang menekankan ketegasan guru.
“Kembalikan suasana sekolah seperti awal tahun 80-an, di mana cikgu boleh membawa rotan dan bersikap tegas terhadap murid.
“Ibu bapa pula perlu akur dengan keputusan cikgu dan tidak campur tangan secara berlebihan.
“Sepatutnya ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik dan mendisiplinkan anak kepada cikgu, bukan mengawal cikgu-cikgu seperti yang berlaku sekarang,” katanya yang mempunyai dua anak berusia 13 dan 15 tahun yang bersekolah di situ.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa keselamatan sekolah akan dijadikan keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa langkah termasuk usaha keselamatan serta sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera.
Ringkasan AI
- Majoriti ibu bapa menyokong kerajaan Selangor memperketat tahap keselamatan di sekolah
- Langkah menyediakan tempat yang selamat untuk anak-anak sangat perlu
- Kejadian tragis membuktikan pentingnya isu keselamatan dan kesejahteraan mental pelajar
- Kerajaan negeri berencana bekerjasama dengan PDRM, KPM dan komuniti setempat
- Ibu bapa mencadangkan kembalikan pendekatan disiplin di sekolah seperti era 1980-an
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

