Inovasi pelajar SMK Dato’ Ahmad Maher kesan pewarna tiruan guna kubis ungu

Muhammad Ameer (tengah) Muhammad Aiman Hakim (kanan) dan Syed Adheem (kiri) menunjukkan anugerah yang dimenangi. Foto SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID
Muhammad Ameer (tengah) Muhammad Aiman Hakim (kanan) dan Syed Adheem (kiri) menunjukkan anugerah yang dimenangi. Foto SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher mencipta inovasi saintifik berasaskan kubis ungu yang mampu mengesan kewujudan pewarna tiruan dalam makanan dan minuman, dinamakan ‘Colourguard’.

Dibangunkan hanya dalam tempoh seminggu, Colourguard dihasilkan daripada air rebusan kubis ungu yang mengandungi pigmen semula jadi antosianin.

Sebabian itu berfungsi sebagai penunjuk pH semula jadi dan akan bertukar warna apabila bertindak balas dengan bahan pewarna tiruan dalam sampel makanan atau minuman yang diuji.

Ketua Kumpulan Projek Colourguard, Muhammad Ameer Jamaludin, 15, berkata, idea tersebut tercetus selepas mereka menyedari kesan negatif pewarna tiruan yang dikaitkan dengan penyakit buah pinggang dan masalah hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.

“Caranya mudah, letakkan sampel makanan pada kapas atau kain putih, kemudian titiskan larutan Colourguard dan tunggu antara 30 hingga 40 saat.

“Jika mengandungi pewarna tiruan, warna akan berubah mengikut tahap pH bahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Festival of Idea @ Kelantan (FOI@Kelantan) 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Selasa.

Terdahulu, produk inovatif Colourguard berjaya merangkul pingat emas Anugerah Kluster Terbaik bagi Kluster Sains (kategori sekolah menengah) pada Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan, yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Dua lagi pelajar Tingkatan Tiga yang bersama-sama mencipta inovasi itu ialah Muhammad Aiman Hakim Najeli dan Syed Adheem Syed Khairudin, masing-masing berusia 15 tahun.

Muhammad Ameer berkata, mereka memilih kubis ungu selepas menilai beberapa bahan semula jadi lain seperti bunga telang dan anggur, namun mendapati kubis lebih murah, mudah diperoleh dan menghasilkan perubahan warna yang lebih jelas.

Artikel Berkaitan:

“Larutan ini belum tahan lama pada suhu bilik.

“Jadi, kami merancang untuk menambah baik formulasi serta meneliti proses paten bagi melindungi hak cipta produk ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Tiga pelajar SMK Dato' Ahmad Maher mencipta 'Colourguard', inovasi berasaskan kubis ungu untuk mengesan pewarna tiruan dalam makanan dan minuman
  • Colourguard menggunakan pigmen antosianin dari kubis ungu sebagai penunjuk pH semula jadi yang bertukar warna apabila berinteraksi dengan pewarna tiruan
  • Projek ini tercetus dari kesedaran tentang kesan negatif pewarna tiruan terhadap kesihatan seperti penyakit buah pinggang dan masalah hiperaktif
  • Produk ini mudah digunakan, dengan meletakkan sampel makanan pada kapas atau kain putih dan menitiskan larutan Colourguard
  • Colourguard telah merangkul pingat emas dari Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!