Sistem pendidikan perlu reformasi tangani kes buli, rogol dan bunuh - Pembela

SHAH ALAM - Sistem pendidikan negara perlu melalui proses reformasi bagi menangani peningkatan kes buli, rogol dan bunuh yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, beliau amat terkesan membaca laporan berkaitan kes jenayah yang membabitkan pelajar sekolah.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menitikberatkan soal adab dan akhlak sebelum mencurahkan ilmu kepada pelajar supaya tatatertib mereka terpelihara meskipun cemerlang dalam akademik.
“Adalah dicadangkan agar di awal persekolahan, penekanan diberikan terhadap adab selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
“Pemimpin pelajar sekolah juga perlu dibekalkan dengan kemahiran mediasi dan dilatih menjadi mediator rakan sebaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kaedah tersebut membolehkan pelajar yang dilatih sebagai mediator rakan sebaya berperanan sebagai orang tengah apabila berlaku pertikaian kecil, sekali gus mengelakkan ia daripada menjadi lebih besar.
Zainul Rijal turut berpandangan bahawa pendekatan itu penting kerana pelajar lebih mudah berinteraksi dengan rakan sebaya berbanding melaporkan masalah kepada guru atau warden.
“Kelab rakan sebaya di sekolah juga perlu diberi fungsi yang lebih luas untuk menangani isu jenayah termasuk kes buli,” ujarnya.
Tambah beliau, pelajar lazimnya lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan mereka sendiri berbanding guru kaunseling atau pentadbir sekolah, justeru saluran itu perlu diperkasakan sebagai mekanisme sokongan dalaman.
Ringkasan AI
- Sistem pendidikan negara perlu direformasi untuk menangani peningkatan kes buli, rogol dan bunuh dalam kalangan pelajar sekolah
- Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menitikberatkan adab dan akhlak sebelum mengutamakan ilmu akademik
- Penekanan pada adab dan kesopanan sejajar dengan Rukun Negara diperlukan di awal persekolahan
- Pelajar perlu dilatih menjadi mediator rakan sebaya untuk mengelak pertikaian menjadi lebih besar
- Kelab rakan sebaya di sekolah perlu diperkasakan untuk menangani isu jenayah termasuk kes buli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

