[VIDEO] Suami isteri warga Indonesia mengaku abai kanak-kanak hingga mati
IPOH – Seorang buruh warganegara Indonesia dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dakwaan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggal dunia pada September lalu.
Tertuduh, Siswadi, 35, dan Nurhayati, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sadang Blanja Kiri, Parit dalam daerah Perak Tengah sekitar jam 10 pagi pada 22 September 2025.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun telah menganiaya kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematiannya.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Medan, Indonesia bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Vitthiyeswary, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mereka ketika ini juga sedang ditahan atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63.
Mahkamah menetapkan 17 November depan bagi bacaan fakta kes dan hukuman, selain meminta pihak pendakwaan untuk menulis surat pemakluman kepada Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


