Kereta terjunam ke Sungai Panchor ditemui, usaha naikkan kenderaan sedang dijalankan

Kerja-kerja menaikkan kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat. Foto JBPM Johor
Kerja-kerja menaikkan kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat. Foto JBPM Johor
A
A
A

MUAR – Sebuah kereta Proton Saga yang terjunam ke dalam Sungai Panchor di pekan Panchor, Pagoh, petang Isnin, berjaya ditemui pasukan penyelamat malam ini dan kerja-kerja menaikkan kenderaan sedang dijalankan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, PBK I Nor Alfatah Omar berkata, pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Muar berjaya mengesan kedudukan kereta itu pada jam 10.21 malam.

Jelas beliau, kedudukan kereta itu dikesan selepas melakukan beberapa selaman menggunakan teknik 'marking' dan 'searching'.

"Kenderaan ditemui pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing sungai dengan kedalaman 15 meter.

"Kerja-kerja membawa naik kenderaan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Operasi mencari dan menyelamat di Sungai Panchor. Foto JBPM Johor
Operasi mencari dan menyelamat di Sungai Panchor. Foto JBPM Johor

Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati kereta berwarna hitam itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam 12 meter.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat awal daripada saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa yang dipercayai pemandu masih berada di dalam kenderaan terbabit.

"Identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini," ujarnya.

Jelas beliau, pasukan PPDA dari BBP Muar memulakan selaman pertama pada jam 5.50 petang menggunakan teknik arch pattern diikuti selaman kedua pada jam 6.40 petang bagi mengesan kenderaan tersebut.

Operasi turut disertai pasukan dari BBP Skudai dan BBP Bukit Gambir dengan kekuatan 20 anggota serta pelbagai aset termasuk dua bot fiber.

Ringkasan AI

  • Kereta Proton Saga terjunam ke dalam Sungai Panchor di pekan Panchor, Pagoh
  • Kenderaan ditemui pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing sungai dengan kedalaman 15 meter
  • Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang
  • Maklumat awal daripada saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa yang dipercayai pemandu masih berada di dalam kenderaan
  • Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pasukan dari BBP Muar, BBP Skudai dan BBP Bukit Gambir dengan kekuatan 20 anggota serta pelbagai aset termasuk dua bot fiber

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!