Kereta terjunam ke sungai, seorang mangsa dikhuatiri terperangkap

Sebuah kereta jenis Proton Saga dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Panchor pada petang Isnin. Foto Tular
Sebuah kereta jenis Proton Saga dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Panchor pada petang Isnin. Foto Tular
A
A
A

MUAR – Sebuah kereta jenis Proton Saga dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Panchor pada petang Isnin menyebabkan seorang mangsa yang dipercayai pemandu masih terperangkap di dalam kenderaan terbabit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Nor Alfatah Omar berkata, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota dari BBP Pagoh dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi, mereka mendapati sebuah kereta berwarna hitam terjunam ke dalam sungai akibat kemalangan.

Anggota BBP Pagoh memulakan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa selepas kereta terjunam ke dalam Sungai Panchor, Muar, pada petang Isnin. Foto JBPM Johor
Anggota BBP Pagoh memulakan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa selepas kereta terjunam ke dalam Sungai Panchor, Muar, pada petang Isnin. Foto JBPM Johor

“Maklumat awal daripada saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa, dipercayai pemandu, masih berada di dalam kenderaan tersebut.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan oleh anggota bomba dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan setakat petang ini.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 44 saat yang menunjukkan sebuah bot dinaiki dua lelaki, dipercayai nelayan, cuba menarik kereta tersebut yang mula tenggelam ke dalam sungai.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kereta Proton Saga terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Panchor pada petang Isnin
  • Seorang mangsa dipercayai pemandu masih terperangkap di dalam kenderaan
  • Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh menerima panggilan kejadian pada jam 2.42 petang
  • Pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Muar terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat
  • Identiti mangsa masih belum dikenal pasti, operasi mencari dan menyelamat berterusan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!