18 pelajar UUM ditawar kerja tetap gaji RM4,200 sebelum konvokesyen

Mohd Foad (tengah) majlis graduasi EMT di Pusat Islam UUM di Sintok pada Selasa.
Mohd Foad (tengah) majlis graduasi EMT di Pusat Islam UUM di Sintok pada Selasa.
A
A
A

SINTOK – Seramai 18 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah tersendiri apabila ditawarkan pekerjaan tetap dengan gaji permulaan sebanyak RM4,200 sebulan, meskipun belum menghadiri majlis konvokesyen yang dijadualkan berlangsung November ini.

Kesemua mereka merupakan peserta Program Elite Management Trainee (EMT), hasil kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM dan syarikat logistik terkemuka, PKT Logistics Group Sdn. Bhd.

Program yang bermula sejak Januari 2024 itu melibatkan proses pemilihan ketat, latihan industri intensif dan rotasi jabatan selama lebih setahun, bertujuan melahirkan graduan yang benar-benar bersedia untuk menyertai dunia kerjaya.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa kolaborasi pintar antara universiti dan industri mampu melahirkan modal insan yang holistik dan berimpak tinggi.

“Program EMT ini bukan sahaja memberi pendedahan sebenar kepada pelajar tentang operasi logistik, malah membentuk mereka sebagai eksekutif pengurusan yang berkualiti tinggi sebelum mereka bergelar graduan,” katanya ketika berucap dalam majlis graduasi EMT di Pusat Islam UUM pada Selasa.

Menurut beliau, gaji permulaan yang ditawarkan kepada peserta program itu melebihi kadar premium RM4,000 yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi hasil keyakinan PKT terhadap prestasi pelajar terlibat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Datuk Seri Michael Tio turut menyatakan rasa puas hati terhadap komitmen dan kebolehan pelajar UUM sehingga sanggup menaikkan gaji permulaan kepada RM4,200 sebulan.

Salah seorang peserta, Nurhanis Azman menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang membuka mata terhadap realiti sebenar dunia pekerjaan.

“Ia sangat mencabar, tetapi sangat berharga kerana kami didedahkan dengan suasana kerja sebenar dan diberi peluang membuktikan kemampuan sebelum bergraduasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ooi Jun Wei, pengalaman bekerja dalam pasukan pelbagai budaya menjadikan beliau lebih yakin dan bersedia menyumbang idea baharu dalam organisasi.

“Saya belajar bagaimana disiplin dan kepimpinan menjadi tunjang kejayaan sesebuah syarikat. Kini saya lebih faham tanggungjawab sebagai pengurus masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Nhishaliny Chandra Segran berkata, latihan intensif yang dilalui telah meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan dirinya.

“Program ini benar-benar memberi impak besar kepada kami. Terima kasih kepada UUM dan PKT atas peluang yang luar biasa ini,” katanya.

Majlis graduasi tersebut turut dihadiri Dekan STML, Prof. Madya Dr Mohamed Najib Salleh dan Ketua Pegawai Operasi PKT Logistics, Dr Jason Cheah.

Program EMT dijangka diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai platform utama melahirkan graduan logistik yang kompeten dan bersedia menyahut cabaran industri.

Ringkasan AI

  • Seramai 18 pelajar UUM ditawarkan pekerjaan tetap dengan gaji RM4,200 sebelum konvokesyen
  • Program Elite Management Trainee hasil kerjasama UUM dan PKT Logistics Group
  • Melibatkan seleksi ketat, latihan industri dan rotasi jabatan selama lebih setahun
  • Naib Canselor UUM menyatakan kolaborasi industri dan universiti melahirkan modal insan holistik
  • Gaji permulaan melebihi kadar premium RM4,000 sebagai hasil keyakinan PKT terhadap prestasi pelajar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!