Gaduh dengan isteri, lelaki mati dibunuh keluarga mentua

Sonu (kiri) maut selepas dibunuh oleh keluarga isterinya.-Agensi
Sonu (kiri) maut selepas dibunuh oleh keluarga isterinya.-Agensi
A
A
A

HAPUR– Seorang lelaki dikenali sebagai Sonu, maut selepas dipercayai dipukul dan dipaksa minum racun oleh ahli keluarga mentuanya selepas mangsa bertengkar dengan isterinya.

Menurut polis, insiden itu berlaku pada Rabu pagi apabila Sonu dan isterinya, yang tinggal di daerah Hapur, bertengkar di rumah.

Isterinya kemudian menghubungi keluarganya di daerah berhampiran, Bulandshahr, bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Sebaik tiba, ahli keluarga wanita itu didakwa menyerang Sonu secara fizikal.

Ketika mangsa cuba melarikan diri, kumpulan terbabit dilaporkan mengejarnya di lebuh raya sebelum terus memukulnya di khalayak ramai.

Saksi mendakwa kumpulan itu turut bertindak kasar terhadap orang awam yang cuba membantu mangsa sebelum mereka melarikan diri dari tempat kejadian.

Sonu kemudiannya dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, kata jurucakap polis.

Ibunya, Sukhwiri, menyifatkan pertengkaran antara pasangan itu sebagai hal biasa dalam rumah tangga namun tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi.

“Saya tidak tahu punca sebenar mereka bergaduh. Anak saya menjual tanah demi isterinya dan memberinya segalanya. Mereka (keluarga mentua) memberinya sesuatu untuk diminum lalu membunuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh polis menunjukkan beberapa lelaki mengejar Sonu di lebuh raya, termasuk seorang yang dilihat memegang sebatang kayu.

Berikutan laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa, polis telah membuka kertas siasatan terhadap tujuh individu, termasuk isteri Sonu, dan kini giat memburu semua suspek.

Pegawai Siasatan, Anita Chauhan dari Balai Polis Pilkhuwa berkata, siasatan awal mendapati Sonu mungkin menelan bahan beracun, namun punca sebenar kematian akan disahkan selepas laporan forensik diperoleh.

“Siasatan masih dijalankan dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil,” katanya.

Tragedi itu mencetuskan kemarahan penduduk tempatan, yang menuntut pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap keganasan rumah tangga dan serangan secara beramai-ramai yang semakin kerap berlaku di wilayah berkenaan.-Agensi

Ringkasan AI

  • Sonu maut selepas dipaksa minum racun oleh ahli keluarga mentuanya berikutan pertengkarannya dengan isteri
  • Insiden berlaku di Hapur selepas isteri Sonu menghubungi keluarganya di Bulandshahr
  • Ahli keluarga wanita tersebut menyerang Sonu secara fizikal dan memukulnya di khalayak ramai
  • Sonu meninggal dunia di hospital dalam keadaan kritikal setelah diserang
  • Polis telah membuka kertas siasatan terhadap tujuh individu termasuk isteri Sonu dan sedang memburu suspek

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!