Dibenar duduki SPM, Pemuda Pas gesa empat suspek kes rogol dibuang sekolah

A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menyifatkan keputusan membenarkan empat pelajar lelaki yang disyaki merogol pelajar perempuan Tingkatan Tiga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tindakan tidak wajar dan mengecewakan.

Menurutnya, keputusan tersebut bukan sahaja menghina maruah mangsa serta keluarganya, malah memberi gambaran seolah-olah jenayah rogol boleh dimaafkan atas alasan pendidikan.

“Perbuatan rogol itu dosa besar, hina, keji dan tiada peri kemanusiaan. Malangnya, suspek yang merogol dalam kelas dan merakam perbuatan itu pula dibenarkan menduduki peperiksaan SPM.

“Di mana maruah dan keadilan untuk mangsa?” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan memaklumkan bahawa empat calon SPM yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Alor Gajah minggu lalu, dibenarkan menduduki peperiksaan pada 3 November ini.

Beliau menjelaskan, segala tindakan undang-undang akan dijalankan oleh pihak polis, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menguruskan aspek disiplin, sokongan ekosistem sekolah serta masa depan pendidikan pelajar terbabit.

Mengulas lanjut, Afnan menegaskan bahawa empat suspek berkenaan sepatutnya digantung atau dibuang sekolah sementara menunggu siasatan selesai.

“Mereka masih boleh menduduki peperiksaan, tetapi bukan di sekolah yang sama. Kalau mahu jamin hak pendidikan, boleh – namun biarlah di tempat lain seperti pusat tahanan, sekolah juvana atau penjara.

“Selagi kes belum selesai, mereka tidak patut bebas ke sekolah seperti tiada apa-apa berlaku,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mengingatkan pihak berkuasa dan KPM supaya mengambil pendekatan tegas agar kes seumpama itu tidak berulang serta bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain.

“Bayangkan perasaan mangsa dan ibu bapanya apabila melihat pelaku masih boleh datang ke sekolah dengan bebas. Ini soal keselamatan dan maruah anak-anak kita, bukan sekadar soal akademik,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin, menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan membenarkan empat pelajar lelaki yang disyaki merogol menduduki peperiksaan SPM
  • Keputusan tersebut dianggap menghina maruah mangsa dan keluarganya serta memberikan gambaran jenayah rogol boleh dimaafkan demi pendidikan
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan keempat-empat calon SPM tersebut dibenarkan menduduki peperiksaan walaupun ada kes rogol berkumpulan
  • Afnan mencadangkan supaya suspek digantung atau dibuang sekolah sementara menunggu siasatan dan mereka boleh menduduki peperiksaan di tempat lain seperti pusat tahanan
  • Afnan mengingatkan pihak berkuasa dan KPM supaya mengambil pendekatan tegas untuk mencegah kes seumpama itu berulang bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!