Empat cedera dalam nahas 5 kenderaan di Simpang Renggam

KLUANG – Empat mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 5, Simpang Renggam, lewat malam Jumaat.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Shoromi Salih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.06 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lima anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer (km).
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Proton Saga, Perodua Myvi, kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 serta sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Tiada mangsa tersepit dalam kemalangan berkenaan dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung.
“Kesemua empat mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Shoromi berkata, lapan lagi mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
“Setelah memastikan keadaan persekitaran selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.07 malam,” katanya.
Ringkasan AI
- Empat mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 5, Simpang Renggam
- Kemalangan terjadi lewat malam Jumaat dan bomba diberitahu pada jam 10.06 malam
- Lima anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian yang berjarak 10 kilometer
- Kemalangan melibatkan Toyota Hilux, Proton Saga, Perodua Myvi, Proton X50, dan motosikal Yamaha 135LC
- Empat mangsa yang cedera dikeluarkan menggunakan pengusung dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
