PN gesa siasatan segera kes kematian murid Tahun Empat di Seremban, dikhuatiri ada unsur jenayah

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Seremban yang disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan perlu dilakukan segera bagi menentukan sama ada pelajar itu sudah meninggal dunia ketika dijumpai di sekolah berkenaan selain meneliti kemungkinan kejadian tersebut berpunca daripada perbuatan jenayah.

"Siasatan terperinci perlu dijalankan segera untuk menyiasat apakah pelajar tersebut telah meninggal semasa dijumpai di sekolah itu. Siasatan juga perlu menumpukan kemungkinan kematian pelajar berkenaan adalah akibat perbuatan jenayah iaitu membunuh.

"Apa yang menghairankan difahamkan kes ini hanya diklasifikasikan sebagai kes buli dan disiasat di bawah seksyen 507C, Kanun Keseksaan, bukannya satu kes bunuh di bawah seksyen 302, Kanun yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, polis mengklasifikasikan kes kematian seorang murid sekolah di Senawang pada 1 Oktober lalu mempunyai kaitan dengan kes buli mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke klinik swasta.

Alzafry juga dilapor berkata, bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Seramai 35 individu diambil keterangan setakat ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menzahirkan rasa kesal dengan tahap keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan yang didakwa semakin tidak terkawal sehingga membawa kepada siri kematian pelajar dalam tempoh kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan yang didakwa lambat bertindak termasuk tidak mengambil langkah segera yang serius.

"Ini termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan di peringkat kementerian, sebaliknya hanya mengatakan banyak yang perlu diperhalusi dan ia mengambil masa sebelum memaklumkan perkara ini ke pengetahuan masyarakat umum.

"Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat terutamanya untuk para pelajar, namun kejadian malang yang berlaku saban waktu menunjukkan kegagalan semua pihak berkaitan Kementerian Pendidikan menjamin keselamatan di institusi-institusi pendidikan, terutama di peringkat sekolah rendah," dakwanya.

Ringkasan AI

  • Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan terperinci terhadap kematian murid tahun empat di Seremban, ditemui tidak sedarkan diri dalam kawasan sekolah
  • Siasatan diminta untuk menentukan sama ada kematian tersebut berpunca daripada perbuatan jenayah
  • Polis sebelum ini mengklasifikasikan kes ini sebagai kes buli, mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan
  • Bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah tekanan pada leher, tanpa kecederaan lain
  • Takiyuddin Hassan mengkritik tahap keselamatan di sekolah dan tindakan lambat Kementerian Pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!