Pegawai PBT ditahan disyaki minta, terima rasuah RM26,000

SHAH ALAM - Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan pada Selasa selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM26,000.
Menurut sumber, wang berkenaan dipercayai diterima daripada seorang pemilik syarikat 'runner' sebagai balasan membantu serta mempercepatkan urusan pengeluaran lesen perniagaan selain tidak mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat terbabit.
"Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor, pada Selasa.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dalam tempoh antara 2019 hingga 2023," katanya.
Jelasnya, suspek dipercayai menerima wang rasuah berkenaan menerusi beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

