Murid Tahun 4 meninggal dunia: Suasana hiba selubungi hospital

REMBAU - Suasana pilu dan hiba menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau apabila ahli keluarga termasuk ibu bapa kepada murid Tahun Empatyang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, hadir menunggu proses bedah siasat pada Khamis.
Keluarga mangsa tiba sekitar jam 12.55 tengah hari bagi menantikan laporan bedah siasat selesai dijalankan.
Kelihatan ibu mangsa ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa masuk ke unit forensik.
Terdahulu, media melaporkan murid lelaki berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan di dalam tandas lelaki sekolah sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta oleh guru disiplin.

Polis menerima maklumat mengenai kematian kanak-kanak itu jam 1.19 petang pada Rabu, semasa mangsa menerima rawatan di klinik berkenaan.
Setakat jam 12 tengah hari pada Khamis, proses bedah siasat ke atas mangsa masih belum dimulakan kerana difahamkan siasatan di lokasi kejadian masih berlangsung.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes kematian murid lelaki itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan sementara menunggu hasil bedah siasat.
Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur buli dalam kes berkenaan.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut demi menjaga emosi keluarga mangsa, selain menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh.
Ringkasan AI
- Suasana pilu menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau menyusuli kematian murid Tahun Empat selepas ditemui tidak sedarkan diri di sekolah
- Keluarga mangsa tiba di hospital untuk menunggu laporan bedah siasat
- Ibu mangsa ditenangkan oleh keluarga sebelum dibawa ke unit forensik
- Murid lelaki berumur 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah dan disahkan meninggal di klinik
- Kes kematian diklasifikasikan sementara menunggu hasil bedah siasat dan siasatan buli sedang dijalankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

