Curi emas, wang tunai saudara untuk biayai majlis perkahwinan

BENGALURU – Seorang lelaki di Karnataka sanggup mencuri emas dan wang tunai bernilai kira-kira Rs 47 lakh (lebih RM223,000) dari rumah saudaranya sendiri gara-gara mahu berkahwin dengan teman wanitanya.
Suspek, Shreyas, 22, telah menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita selama empat tahun.

Disebabkan terdesak mencari wang untuk menguruskan majlis perkahwinan, dia bertindak memecah masuk rumah saudaranya, Harish, yang juga pemilik kedai tempatnya bekerja.
Menurut polis, kejadian berlaku pada 15 September lalu ketika mangsa tiada di rumah.
"Suspek dikatakan memecah masuk kediaman berkenaan sebelum melarikan emas seberat 416 gram dan wang tunai Rs 3.46 lakh dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai Rs 47 lakh," katanya menurut laporan NDTV.
Selepas laporan dibuat, Polis Hebbagodi menjalankan siasatan dan berjaya menahan Shreyas di rumahnya di Gattihalli.
Siasatan mendapati suspek telah menggadai sebahagian emas curi serta menyimpan wang tunai di sebuah syarikat kewangan dan bank.
Sebahagian hasil curian itu turut diberikan kepada teman wanitanya yang tinggal di Bannerghatta.
Ketika disoal siasat, Shreyas mengaku mereka bukti palsu termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelirukan polis dan menutup perbuatannya.
Polis berjaya merampas semula semua barang kemas serta wang tunai berkenaan.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Karnataka mencuri emas dan wang tunai bernilai kira-kira RM223,000 dari rumah saudaranya untuk menguruskan majlis perkahwinan
- Shreyas, 22, menjalin hubungan cinta selama empat tahun dan memecah masuk rumah saudaranya, Harish untuk mencuri
- Polis Hebbagodi menahan Shreyas setelah melakukan siasatan dan mendapati dia menggadai emas serta menyimpan wang tunai curian
- Sebahagian hasil curian diberikan kepada teman wanitanya
- Shreyas mengaku mencipta bukti palsu untuk mengelirukan polis dan semua barang curian telah dirampas semula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

