Kedah peruntuk RM12.7 juta bantu rakyat terjejas akibat Covid-19

Mukhriz menyerahkan replika cek bernilai RM 430,000 kepada Dr. Shahrul Bariyah selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mukhriz menyerahkan replika cek bernilai RM 430,000 kepada Dr. Shahrul Bariyah selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah meluluskan peruntukan sebanyak RM12.785 juta sebagai inisiatif untuk menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perbelanjaan itu merangkumi bantuan keperluan asas di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan DUN angkat berjumlah RM3.6 juta bagi membantu mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, sejumlah RM110,000 turut dibelanjakan untuk keperluan 'food bank' bagi pelajar terkandas di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pelajar anak Kedah di Mesir dan Jordan.

"Selain itu, sebanyak RM1.185 juta digunakan sebagai bantuan sokongan seperti cecair pembasmi kuman dan topeng muka kepada petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM430,000 turut disumbangkan kerajaan negeri untuk memberi bantuan peralatan dan perubatan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini bagi memerangi pandemik berkenaan.

Sementara itu Mukhriz berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 52 kes positif Covid-19 dicatatkan di Kedah.

"Sebanyak 48 melibatkan jemaah tabligh dari perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

"Jadi kita merayu kepada anggota tabligh terlibat supaya segera melakukan ujian saringan kerana bimbang membawa jangkitan kepada keluarga serta rakan-rakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika ini pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan di Kedah mencecah 87 peratus.

"Ini satu angka yang agak positif namun di sebaliknya masih ada 13 peratus yang bergerak seolah-olah tidak mematuhi perintah tersebut.

"Oleh itu kita harap rakyat Kedah dapat mematuhi perintah ini dengan tidak kerap berlegar di luar jika tiada urusan penting," katanya.

Terdahulu, Mukhriz turut menyerahkan cek bernilai RM430,000 kepada Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri, Dr Shahrul Bariyah Ahmad untuk pembekalan dua unit alat Mechanical Cardiopulmonary Resuscitation.