'Tentera Israel kali ini lebih kejam' – Mohd Afandi kongsi pengalaman ditahan kali kedua

Adam (kanan) berkongsi foto keluarga yang dirakam ketika menghantar bapanya berangkat menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Adam (kanan) berkongsi foto keluarga yang dirakam ketika menghantar bapanya berangkat menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, yang sebelum ini pernah ditahan tentera Israel menyifatkan kekejaman rejim itu kali ini jauh lebih dahsyat berbanding pengalamannya pada 2018.

Perkara itu dikongsi anaknya, Adam, 20, selepas berjaya menghubungi bapanya yang baru dibebaskan daripada tahanan tentera Israel dan selamat tiba di Istanbul, Turkiye, malam tadi.

Adam yang juga pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UniSZA berkata, bapanya turut berkongsi pengalaman getir sepanjang tempoh penahanan oleh tentera Israel.

“Baba sempat beritahu umi bahawa Israel kali ini lebih kejam berbanding tahun 2018. Walaupun ini kali kedua ditahan, tetapi pengalaman itu jauh lebih menakutkan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurut Adam, ibunya paling terkesan apabila mengetahui kapal yang dinaiki bapanya diserang, namun panggilan yang diterima semalam sedikit sebanyak melegakan mereka sekeluarga.

“Umi menangis semasa dengar suara baba sebab tak sangka masih diberi peluang untuk bercakap.

“Kami sekarang cuma menunggu Ahad ini untuk menyambut kepulangan baba dan rakan-rakan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya.

Menurut Adam, keluarga mereka yang terputus hubungan hampir dua hari menarik nafas lega sebaik menerima panggilan telefon daripada bapanya yang memaklumkan bahawa semua aktivis Malaysia berada dalam keadaan selamat.

“Baba telefon umi menggunakan telefon orang lain. Katanya semua wakil Malaysia selamat dan sedang berehat di Istanbul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Afandi merupakan salah seorang daripada sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan selepas kapal dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dinaiki mereka dipintas tentera Israel ketika dalam pelayaran menghampiri Gaza, Rabu lalu.

Lapan lagi aktivis Malaysia yang turut serta dalam misi berkenaan ialah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakirah Mohd Suhaimi; Dr Noorhasyimah Ismail; Norsham Abu Bakar; Dr Maziah Muhammad; dan wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil.

Kesemua mereka dijadualkan tiba di Malaysia pada Ahad ini selepas selesai urusan dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan di Turkiye.

Sebelum ini, Mohd Afandi pernah ditahan tentera Israel selama 36 jam di Penjara Givon ketika menyertai misi kemanusiaan kapal Al-Awda yang membawa ubat-ubatan menuju ke Gaza pada 2018, ketika itu beliau merupakan wakil tunggal sukarelawan Malaysia.

 

 

Ringkasan AI

  • Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, dibebaskan dari tahanan Israel dan tiba di Istanbul, Turkiye
  • Kekejaman tentera Israel kali ini dianggap lebih dahsyat berbanding pengalaman Profesor Mohd Afandi pada tahun 2018
  • Anak Profesor Mohd Afandi, Adam, berjaya menghubungi bapanya dan berkongsi pengalaman getir penahanan tersebut
  • Keluarga mereka menarik nafas lega setelah menerima panggilan telefon daripada Profesor Mohd Afandi yang memaklumkan semua aktivis Malaysia dalam keadaan selamat
  • Profesor Mohd Afandi merupakan salah seorang daripada sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika dalam misi Freedom Flotilla Coalition ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!