Calon payung terjun cetus gelora PKR Sabah

KOTA KINABALU - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu mula mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan parti politik, termasuk desas-desus wujudnya pergelutan dalaman berhubung agihan kerusi yang masih belum dimuktamadkan bersama rakan kerjasama.
Bukan itu sahaja, timbul pula dakwaan mengenai ketegangan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat cabang, apabila sebahagian pihak tidak berpuas hati terhadap campur tangan kepimpinan pusat dalam menentukan jentera serta calon parti.
Situasi itu dikatakan membawa kepada satu mesyuarat sulit yang diadakan pada malam Khamis lalu.
Menurut sumber dalaman PKR, seramai 17 ketua cabang dan timbalan ketua cabang dipercayai menghadiri mesyuarat berkenaan yang berlangsung sekitar jam 8.30 malam dan berakhir kira-kira jam 11.15 malam di Kota Kinabalu.
Difahamkan, isu berkenaan berpunca daripada pemilihan beberapa individu yang didakwa akan diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, yang sebelum ini pernah bersama UMNO dan Warisan sebelum menyertai PKR.
Turut disebut sebagai antara nama calon ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, serta bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Nama-nama tersebut didakwa mula tular selepas senarai calon berkenaan dipercayai bocor daripada orang dalam parti.
Seorang ketua cabang yang enggan dikenali berkata, penentangan boleh berlaku sekiranya calon ‘luar’ atau dianggap calon payung terjun diberi keutamaan berbanding pemimpin tempatan yang telah lama berkhidmat di peringkat akar umbi.
"Kalau calon payung terjun diberi kerusi, jangan harap jentera di bahagian itu akan digerakkan sepenuhnya. Akan ada protes," katanya.
Pada awalnya, PKR Sabah dikatakan berhasrat bertanding di 13 kerusi DUN, seperti diumumkan oleh Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Nurul Izzah Anwar.
Bagaimanapun, jumlah itu difahamkan disemak semula kepada tujuh kerusi sahaja, dengan hanya dua ketua cabang dijangka terpilih, manakala selebihnya mungkin melibatkan calon payung terjun.
"Tiga belas kerusi itu hanyalah angan-angan. Realistiknya tujuh, dan lima daripadanya mungkin calon payung terjun," keluh seorang lagi ketua cabang yang turut enggan namanya disiarkan.
Ringkasan AI
- Pembubaran DUN Sabah mencetuskan reaksi dan desas-desus pergelutan dalaman di kalangan parti politik
- Terdapat dakwaan ketegangan dalam PKR Sabah berkaitan campur tangan kepimpinan pusat dalam pemilihan calon
- Mesyuarat sulit diadakan oleh ketua dan timbalan ketua cabang PKR Sabah membincangkan isu pemilihan calon
- Penentangan mungkin berlaku jika calon luar atau 'payung terjun' diberi keutamaan berbanding pemimpin tempatan
- PKR Sabah asalnya berhasrat bertanding di 13 kerusi tetapi disemak semula kepada tujuh kerusi, dengan anggapan dominan calon payung terjun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
