'Bilik' PATI dalam bangunan tiga tingkat diserbu Imigresen

KUALA LUMPUR - Penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang 'berselindung' di bangunan tiga tingkat lot kedai di Ulu Klang di sini dikejutkan dengan kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Sabtu.
Serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam itu dijalankan sepasukan JIM Kuala Lumpur.
Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati terdapat proses pengubah suaian di tingkat dua dan tiga bangunan terbabit dengan menempatkan sekitar tujuh hingga lapan bilik kecil kepada warga asing.
Difahamkan, warga asing terbabit tinggal menyewa bilik terbabit dengan bayaran sewa pada kadar RM200 ke RM400 selain perlu berkongsi tandas di tingkat yang sama.
Malah, ada yang menjadikan ruangan di tingkat terbabit sebagai 'hostel' pekerja asing yang dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan serta sektor pembersihan.
Bagi menyukarkan tindakan pemeriksaan dijalankan JIM, 'hostel' terbabit dikesan mengunci pintu dari luar kononnya tiada penghuni di dalam. Namun selepas alat pengunci itu dipotong, pemeriksaan lanjut menemui warga asing yang sedang bersembunyi.
Lelaki Indonesia yang ditahan dikenali Rafie Subianto, 20-an berkata, dia membayar sewa bulanan kira-kira RM250 dan terpaksa tidur bersama seorang rakan senegara di bilik kecil berkenaan.
“Terpaksalah bang tinggal di sini, saya mahu pulang ke kampung tetapi tak ada wang.
"Saya sedang kumpul wang dan mahu pulang ke Indonesia," katanya yang mendakwa masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial pada 2022 dan bekerja sebagai buruh binaan setakat awal Oktober lepas.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 39 individu terdiri daripada 10 tempatan dan 29 warga asing diperiksa.
"Hasil pemeriksaan telah menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 11 wanita disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.
"PATI yang ditahan terdiri daripada 18 Indonesia, seorang Bangladesh serta lima Nepal," katanya.
Tegasnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan operasi penguatkuasaan oleh JIM akan terus dipertingkatkan serta diperluaskan ke semua lokasi penempatan dan sektor pekerjaan.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu bangunan lot kedai di Ulu Klang menempatkan pendatang asing tanpa izin
- Warga asing tersebut menyewa bilik dengan bayaran antara RM200 ke RM400 dan berkongsi tandas
- Bangunan tersebut diubah suai menjadi tempat tinggal untuk warga asing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sektor pembersihan
- Seramai 39 individu diperiksa, 24 pendatang asing tanpa izin termasuk 18 dari Indonesia, seorang Bangladesh dan lima dari Nepal ditahan
- Operasi ini sebahagian daripada usaha berterusan JIM untuk membanteras masalah pendatang asing tanpa izin di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
