Perarakan bot semarak solidariti buat Palestin, rai wira GSF

KUALA TERENGGANU – Program perarakan bot sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa di perairan Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini pada Jumaat menarik penyertaan lebih 300 peserta bagi menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Penasihat Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu (PBSSNT), Muhammad Hamdi Harun berkata, sambutan diterima amat menggalakkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan belia dan keluarga.
Beliau berkata, himpunan yang bermula sekitar jam 3 petang itu bukan sekadar sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin, tetapi turut diadakan bagi meraikan wira-wira Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air.

"Pada asalnya kita menjangkakan sekitar 300 orang penyertaan. Namun melihat kepada sambutan dan semangat masyarakat, jumlah itu dijangka melebihi anggaran itu.
"Ramai pihak ingin turut serta sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin serta meraikan keberanian para wira Sumud Flotilla,” katanya.
Menurutnya, penganjuran perarakan tersebut bertujuan membangkitkan semula semangat terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin serta menyemarakkan kembali kesedaran solidariti dalam kalangan masyarakat.
"Perarakan bot ini menjadi simbol gelombang kebangkitan rakyat. Ia menunjukkan bahawa walaupun jarak memisahkan, umat Islam di Malaysia tetap bersama dalam doa, sokongan dan perjuangan membela bumi Al-Quds yang diberkati," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Muhammad Hamdi menegaskan, perjuangan Palestin bukan isu bermusim sebaliknya ujian keimanan dan maruah umat Islam yang perlu dipertahankan.
Katanya, anak muda juga perlu dididik bahawa membela Palestin adalah sebahagian daripada tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah.
"Ketika dunia semakin sunyi dan seolah-olah melupakan penderitaan Gaza, kita mesti terus menyemarakkan kesedaran agar umat tidak lalai. Program seperti ini penting bagi memastikan api perjuangan tidak padam.
"Bukan sekadar melalui slogan, tetapi dengan tindakan, doa, infaq dan kesedaran berterusan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Program perarakan bot sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa menarik penyertaan lebih 300 peserta di Kuala Terengganu
- Muhammad Hamdi Harun menyatakan sambutan menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk NGO, golongan belia, dan keluarga
- Himpunan tersebut bertujuan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin dan meraikan wira Sumud Flotilla
- Perarakan bot menjadi simbol kebangkitan dan semangat solidariti terhadap perjuangan membebaskan Palestin
- Muhammad Hamdi menekankan perjuangan Palestin sebagai ujian keimanan dan maruah yang perlu dipertahankan serta tanggungjawab iman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
