[VIDEO] Misi FFC x TMTG: Sembilan aktivis Malaysia dijangka diterbangkan ke Turkiye petang ini
SERDANG - Sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza dijangka bersama antara 95 aktivis diterbangkan ke Turkiye pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, difahamkan pesawat berkenaan akan membawa aktivis dari 22 negara kemungkinan termasuk sembilan orang aktivis Malaysia dan enam orang aktivis Global Sumud Flotilla (dua Norway, dua Morroco dan satu Sepanyol).

"Maklumat yang kami terima daripada command centre Freedom Flotilla Coalition di Turkiye, Kementerian Luar Negeri Turkiye menyatakan bahawa akan ada penerbangan daripada Israel mendarat di Istanbul sekitar jam 3 petang waktu Turkiye hari ini, lebih kurang jam 8 malam waktu tempatan.
"Kami juga masih menunggu maklumat daripada pihak Wisma Putra untuk mengesahkan status sembilan aktivis Malaysia di dalam penerbangan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan perkembangan terkini sembilan delegasi Malaysia misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza di ibu pejabat MyCARE di sini pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan, proses tribunal melibatkan sembilan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) X Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka selesai tengah malam Khamis.

Dalam laporan sama, semua rakyat Malaysia sudah menandatangani surat deportasi dan pihaknya masih menunggu laporan terkini dari peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang mewakili mereka.
Terdahulu, kesemua 145 aktivis sudah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel dan peguam ADALAH telah berjumpa dengan sebahagian delegasi Malaysia yang ditahan dan proses guaman masih berlangsung.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, sembilan wakil Malaysia yang terlibat iaitu Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd All Dr Fauzian Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
"Alhamdulillah kesemua aktivis Malaysia berada dalam keadaan sihat seperti yang dilaporkan sebelum ini.
"Kami juga sudah berhubung dengan keluarga untuk persiapan dan kita merancang untuk hantar wakil kita ke Istanbul untuk bawa sebahagian daripada sepersalinan dua pakaian sebab kita difahamkan yang grup GSF 400 orang beg semua sudah berterabur jadi sehelai sepinggang ke Istanbul," katanya.
Ringkasan AI
- Sembilan aktivis Malaysia ditahan Israel ketika menyertai misi ke Gaza akan diterbangkan ke Turkiye
- Pesawat yang membawa aktivis termasuk dari 22 negara dijadualkan mendarat di Istanbul
- Kementerian Luar Negeri Turkiye mengumumkan penerbangan tersebut akan tiba jam 3 petang waktu Turkiye
- Proses tribunal untuk sembilan delegasi Malaysia telah selesai dan surat deportasi sudah ditandatangani
- Kesemua aktivis Malaysia dilaporkan dalam keadaan sihat dan persiapan untuk kepulangan sedang diatur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

