Simpan SSPN Melalui Program Anak Emas Beri Sinar Masa Depan Pendidikan

SEBERANG JAYA - Seramai 50 bayi yang dilahirkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini menerima manfaat melalui Program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi yang disampaikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Program Anak Emas.
Kesemua mereka menerima RM100 dalam bentuk pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime serta hamper barangan bayi bernilai RM100 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, inisiatif yang dilaksanakan PTPTN menunjukkan komitmen luar biasa dalam memupuk budaya menabung sejak diawal usia demi masa depan generasi akan datang.
Menurutnya, peranan PTPTN kini jauh melangkaui penyedia pinjaman pendidikan semata-mata malah melalui pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan menzahirkan kepimpinan yang peka terhadap masyarakat dan aktif menyemai budaya penabungan sejak awal usia.
"Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PTPTN dalam memperkukuh Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime adalah langkah bijak dan berpandangan jauh.
"Usaha ini bukan sekadar meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan perancangan kewangan dan tabiat menabung yang konsisten," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi sempena Program Anak Emas yang diadakan pada hari ini.
Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Datuk Ong Bee Leng dan Pengarah HSJ, Dr S.Shameni.
Lim berkata Program Anak Emas diperkenalkan kerajaan negeri pada Jun 2011 dengan bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur dua tahun ke bawah sebelum ditambah baik menerusi kolaborasi bersama PTPTN mulai 15 September 2024 dengan RM100 diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit akaun Simpan SSPN Prime, manakala RM100 lagi dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon yang layak.

Jelasnya, sejak 15 Januari 2024 hingga 30 September 2025, sebanyak 7,771 akaun Simpan SSPN telah dibuka atau ditambah simpanannya, berjumlah RM 777,100.
"Dalam tempoh yang sama, terdapat 29,678 kelahiran di seluruh Pulau Pinang, menunjukkan hampir 26 peratus keluarga telah mula melabur untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka.
"Lebih membanggakan, sehingga Ogos 2025, jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN di Pulau Pinang telah mencecah RM2.63 bilion, dengan lebih 370,000 akaun dibuka.
"Ini bukti nyata bahawa masyarakat Pulau Pinang semakin celik kewangan dan memahami pentingnya menabung untuk pendidikan anak-anak," tambahnya.
Sementara itu, Norliza berkata, Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun selain perlindungan takaful ke atas pendeposit.
Selain itu, katanya, pendeposit juga menerima Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
"Sejak diperkenalkan pada tahun 2004 sehingga 30 Ogos 2025, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun yang telah dibuka.
"Sebagai institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sentiasa komited dalam mendukung agenda pendidikan negara, PTPTN akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat," tambahnya lagi.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan Program Anak Emas boleh melayari isejahtera.penang.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
