Kerajaan bentang belanjawan terbesar walau dividen Petronas berkurang - Amir Hamzah

Petronas perlu kekal mempunyai dana mencukupi bagi membangunkan industri petroleum di luar negara supaya pulangannya dapat disalurkan semula ke Malaysia. - Gambar hiasan, gambar kecil: Amir Hamzah
Petronas perlu kekal mempunyai dana mencukupi bagi membangunkan industri petroleum di luar negara supaya pulangannya dapat disalurkan semula ke Malaysia. - Gambar hiasan, gambar kecil: Amir Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap berupaya membentangkan Belanjawan 2026 terbesar dalam sejarah negara walaupun dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijangka rendah tahun depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara itu membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh dengan hasil yang pelbagai dan tidak hanya bergantung kepada sumbangan syarikat minyak dan gas nasional berkenaan.

"Walaupun dividen Petronas kurang daripada yang kita terima tahun ini, hasil negara masih mencukupi untuk membentangkan bajet paling besar berjumlah RM470 bilion, dengan sokongan daripada badan-badan lain,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM470 bilion bagi Belanjawan 2026, berbanding RM421 bilion pada tahun ini.

Dalam pada itu Amir Hamzah menjelaskan, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam penyediaan Belanjawan 2026 dengan mengambil kira andaian harga minyak dan gas yang realistik.

"Bajet sentiasa mengambil kira jangkaan harga minyak dan gas.

"Jika kita tidak menekan Petronas untuk beri lebih, penurunan harga minyak akan menyebabkan dividen turut berkurangan. Ini mencerminkan keadaan sebenar,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, keutamaan kerajaan bukan sekadar memastikan aliran tunai jangka pendek, sebaliknya mengekalkan kemampuan Petronas untuk terus melabur dan membangunkan industri petroleum di luar negara.

"Yang penting, Petronas perlu kekal mempunyai dana mencukupi bagi membangunkan industri petroleum di luar negara supaya pulangannya dapat disalurkan semula ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Setakat kemampuan mereka, Petronas akan terus membantu melalui pemberian dividen,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan membentangkan Belanjawan 2026 terbesar dalam sejarah Malaysia walaupun dividen Petroliam Nasional Berhad rendah
  • Asas ekonomi negara kukuh dengan hasil yang pelbagai
  • Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, disokong oleh badan lain selain Petronas
  • Pendekatan berhati-hati dalam penyediaan Belanjawan 2026 dengan andaian harga minyak dan gas yang realistik
  • Petronas diutamakan untuk melabur dan membangunkan industri petroleum di luar negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!