Belanjawan 2026: Maritim Malaysia perkasa kesiapsiagaan bendung jenayah perairan

Mohd Rosli
Mohd Rosli
A
A
A

PUTRAJAYA – Maritim Malaysia memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam mengekang aktiviti pencerobohan, penyeludupan, penangkapan ikan secara haram serta pelbagai ancaman jenayah maritim susulan peruntukan hampir RM1 bilion menerusi Belanjawan 2026.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, peruntukan besar itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan maritim negara.

"Belanjawan 2026 bertemakan Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan kesinambungan kepada apa yang diumumkan pada tahun lalu.

"Sejumlah hampir RM1 bilion diperuntukkan kepada Maritim Malaysia melibatkan empat inisiatif utama bagi memperkukuh armada dan infrastruktur utama agensi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, antara inisiatif yang sedang giat dilaksanakan termasuk penyelenggaraan enam kapal melalui Ship Life Extension Programme (SLEP), perolehan sebuah Multi-Purpose Mission Ship (MPMS), dua Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC), serta penerimaan sebuah kapal peronda United States Coast Guard Cutter (USCGC).

"Selain itu, empat pesawat udara Super Medium Lift Helicopter AW189 turut diperoleh sebelum ini bagi meningkatkan kemampuan operasi udara agensi.

"Semua inisiatif ini sudah mula memperlihatkan peningkatan keupayaan Maritim Malaysia di lapangan," katanya.

Menurutnya, Belanjawan 2026 turut memperuntukkan perolehan sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft (MSA), pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali serta Kompleks Zon Maritim Kudat di Sabah.

"Pembaharuan Kompleks Bersepadu Zon Maritim Labuan dan Pasukan Polis Marin Labuan turut menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan serta moral anggota agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Artikel Berkaitan:

"Kesinambungan sokongan daripada Belanjawan 2025 ke Belanjawan 2026 jelas menunjukkan kerajaan Madani memberi perhatian serius terhadap keselamatan perairan negara," katanya.

Mohd Rosli berkata, dengan sokongan ini, Maritim Malaysia dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam mengekang ancaman jenayah maritim di seluruh perairan.

"Seluruh warga Maritim Malaysia akan terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi demi memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

"Maritim Malaysia berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam merealisasikan agenda Belanjawan Madani yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keselamatan negara serta pembangunan berdaya tahan," katanya.

Ringkasan AI

  • Maritim Malaysia memperkukuh keselamatan maritim dengan peruntukan hampir RM1 bilion dari Belanjawan 2026
  • Inisiatif termasuk penyelenggaraan enam kapal, perolehan kapal Multi-Purpose dan Kapal Peronda Generasi Baharu, serta empat pesawat udara
  • Belanjawan juga merangkumi pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim di Kelantan dan Kompleks Zon Maritim di Sabah
  • Kerajaan Madani memberi perhatian serius terhadap keselamatan perairan negara
  • Maritim Malaysia berdedikasi untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara terpelihara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!