Hab hidrogen hijau 2MW di Selangor

WORLDWIDE Energy Development Sdn Bhd (WED), anak syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Ace Gases Sdn Bhd, anak syarikat Kelington Group Berhad dan SKS Coachbuilders Sdn Bhd bagi membangunkan hab pengeluaran hidrogen hijau berkapasiti 2 Megawatt (MW) di Loji Janakuasa Kecil Hidro Batang Kali.
Sebagai rakan usaha sama, WED akan menyediakan tanah, kuasa boleh diperbaharui, air serta sokongan peraturan.
Ace Gases akan menerajui pembangunan loji electrolyser hidrogen dan pengeluaran manakala SKS akan mengetuai integrasi hiliran termasuk pelancaran bas Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) dan pembinaan stesen pengisian semula hidrogen.
Ketua Pegawai Operasi, Tenaga Boleh Diperbaharui WHB, Alif Shah berkata, MoU ini merupakan satu pencapaian penting bagi Selangor dalam membangunkan hidrogen sebagai industri baharu yang sedang meningkat pesat.
“Dengan menggabungkan kuasa hidro boleh diperbaharui bersama teknologi hidrogen hijau, projek perintis ini akan menampilkan peluang baharu dalam mobiliti mampan, penerapan industri dan pelaburan.
“Worldwide Energy berbangga menerajui inisiatif ini di bawah Program Sumber Berorientasikan Hidrogen Selangor (SHORE) sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi hijau jangka panjang negeri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, hidrogen merupakan komponen penting dalam peralihan tenaga bersih global dan kerjasama ini meletakkan Selangor sebagai antara peneraju awal dalam ekonomi hidrogen di Malaysia.
“Menerusi kerjasama strategik seperti ini, kami berhasrat mewujudkan rantaian nilai baharu, menarik pelaburan serta memacu inovasi yang akan memperkukuh agenda kelestarian negeri dan negara,” katanya.
Projek perintis yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga hidro boleh diperbaharui dari Loji Jana Kuasa Hidro Kecil Batang Kali akan menjadi pemangkin kepada pembangunan hidrogen berskala lebih besar di Selangor.
Ia dijangka membuka laluan baharu bagi penerapan tenaga bersih, memperkukuh penglibatan industri serta meletakkan negeri Selangor sebagai peneraju utama dalam ekonomi hidrogen Malaysia.
Ringkasan AI
- WORLDWIDE Energy Development Sdn Bhd menandatangani MoU bersama Ace Gases Sdn Bhd dan SKS Coachbuilders Sdn Bhd untuk membangunkan hab hidrogen hijau di Batang Kali
- WED menyediakan tanah, kuasa boleh diperbaharui, air, dan sokongan peraturan
- Ace Gases akan menerajui pembangunan loji electrolyser hidrogen dan SKS akan mengetuai integrasi hiliran termasuk pelancaran bas FCEV dan stesen pengisian semula hidrogen
- Inisiatif ini dijalankan di bawah Program Sumber Berorientasikan Hidrogen Selangor sebagai sebahagian dari agenda ekonomi hijau jangka panjang negeri
- Projek ini menandakan langkah signifikan bagi Selangor dalam memacu ekonomi hidrogen dan peralihan ke tenaga bersih
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


