Belanjawan 2026: RM580 juta suntik semangat baharu dunia sukan negara

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM580 juta untuk pembangunan sukan, sekali gus memberi suntikan baharu kepada usaha memperkasa ekosistem sukan tanah air daripada akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan besar itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkukuh agenda sukan negara selaras dengan hasrat membina Malaysia sebagai kuasa sukan serantau menjelang penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027.

“Tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Madani atas Belanjawan 2026 yang memperlihatkan kesungguhan luar biasa dalam memperkasa pembangunan sukan negara.

“Peruntukan ini bukan sekadar angka, tetapi mesej besar bahawa kerajaan menghargai pengorbanan atlet, jurulatih dan pegawai yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata, suntikan dana itu akan digunakan untuk memperkukuh program berprestasi tinggi seperti Road to Gold (RTG), selain membantu persediaan menghadapi temasya utama dunia termasuk Sukan Asia, Sukan Para Asia, Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta temasya besar di tanah air pada 2027.

Tengku Zafrul juga turut mengalu-alukan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara termasuk padang sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, selain geran padanan RM30 juta untuk pertubuhan sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas pembangunan bakat di peringkat komuniti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat, mengumumkan peningkatan peruntukan sukan itu berbanding RM230 juta pada 2025 dan RM224 juta pada 2024.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada dua beregu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mencipta sejarah bergelar juara dunia beregu campuran pertama negara dan Pearly Tan-M Thinaah yang membawa pulang pingat perak di Paris, Ogos lalu.

Tengku Zafrul juga gembira pengiktirafan diberikan terhadap kejayaan Tang Jie–Ee Wei dan Pearly–Thinaah di Kejuaraan Dunia.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan mereka membuktikan pelaburan dalam sukan berprestasi tinggi berbaloi dan mampu mengangkat nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menambah, langkah kerajaan membenarkan organisasi yang diluluskan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan sebahagian pendapatan untuk aktiviti sukan adalah strategi bijak bagi merangsang pembiayaan swasta dalam sukan nasional.

“Pendekatan ini akan menarik lebih banyak penyertaan sektor korporat dan menjadikan ekosistem sukan Malaysia lebih mampan dan berdaya saing,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Persatuan Badminton Malaysia menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 dengan RM580 juta untuk pembangunan sukan
  • Peruntukan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda sukan negara
  • Suntikan dana akan digunakan untuk memperkukuh program berprestasi tinggi dan persediaan untuk temasya utama dunia
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peningkatan peruntukan sukan berbanding tahun-tahun sebelumnya
  • Pengiktirafan terhadap kejayaan atlet Malaysia di pentas dunia menunjukkan pelaburan dalam sukan berprestasi tinggi berbaloi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!