Cukai Pro-Kesihatan, Akta 852: DPVM dakwa dasar kerajaan tidak adil kepada industri Bumiputera

DPVM komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rangka kawalan vape yang seimbang, berkesan dan melindungi kepentingan kesihatan awam. - Gambar hiasan
DPVM komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rangka kawalan vape yang seimbang, berkesan dan melindungi kepentingan kesihatan awam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) mendakwa kadar cukai tidak terlalu tinggi sehingga menjadikan produk vape lebih mahal daripada rokok konvensional dan cadangan untuk menaikkan cukai vape sehingga 10 kali ganda adalah tidak munasabah.

Setiausaha DPVM, Ridhwan Rosli berkata, kenaikan kadar cukai secara mendadak tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak, sama ada industri, orang awam, ataupun kerajaan.

Bagaimanapun katanya, DPVM menyokong pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan serta penguatkuasaan Akta 852 sebagai langkah terbaik untuk memastikan industri vape dikawal selia secara bertanggungjawab dan beretika.

Sehubungan itu, DPVM menyokong cadangan kerajaan untuk meluaskan pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan termasuk vape, tanpa perlu mengambil pendekatan pengharaman menyeluruh.

“Kami percaya bahawa Cukai Pro-Kesihatan adalah mekanisme yang lebih berkesan dan berimbang berbanding larangan penuh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, dengan pelaksanaan cukai secara strategik, kerajaan dapat menggunakan kutipan cukai untuk melaksanakan advokasi kesihatan awam.

“Namun, jika harga vape melambung tinggi, ramai perokok akan kekal dengan rokok biasa," katanya.

Ujarnya, satu kajian oleh institusi pendidikan terkemuka dunia, Yale University dan Georgia State University mendapati bahawa peningkatan cukai vape menyebabkan penurunan kadar penggunaan vape tetapi peningkatan dalam tabiat merokok dalam kalangan golongan dewasa muda berumur antara 18 hingga 25 tahun.

Jelasnya, fenomena ini dikenali sebagai 'kesan penggantian', di mana pengguna beralih kepada alternatif yang lebih murah atau lebih mudah diperoleh seperti rokok atau vape seludup - yang tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak, sama ada industri, orang awam, ataupun kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat utama ialah memberi insentif kepada perokok untuk beralih, bukan membebankan mereka. Jika cukai dinaikkan kepada RM4 per mililiter, sebotol cecair berisipadu 15 mililiter mencecah RM60 untuk cukai sahaja, belum harga jualan runcit,” tegas Ridhwan.

Ujarnya, cadangan cukai yang munasabah adalah maksimum 80 sen per mililiter memandangkan terdapat cukai tambahan 10 peratus bagi peranti.

Namun katanya, kerajaan harus mempertimbangkan kesan kenaikan ini kepada pengusaha Bumiputera yang berskala kecil dan risiko yang bakal mereka hadapi.

Beliau turut menekankan bahawa Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) menyediakan kerangka undang-undang yang kukuh untuk mengawal selia industri vape secara holistik.

"Namun, sekarang kerajaan negeri tidak konsisten dengan adanya larangan menjual vape daripada tujuh negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan Perak.

"Bagaimanakah kerajaan mengawal selia industri ini sekiranya terdapat percanggahan peraturan antara KKM dan kerajaan negeri?

"Kerajaan ingin mengutip lebih banyak cukai daripada industri. Tetapi mahu menyekat aktiviti ekonomi industri tersebut secara keseluruhan? Ini adalah tidak adil," tegasnya.

Beliau berkata, Akta 852 perlu dilaksanakan secara konsisten di setiap negeri dan dipantau secara bersepadu.

"Pelaksanaan dasar yang tidak seimbang akan memberi kesan negatif kepada kesihatan awam. Perlindungan terhadap remaja mesti diutamakan melalui melaksanakan peraturan-peraturan Akta 852," jelasnya.

Tegasnya, kepentingan memastikan produk vape tidak mudah dicapai oleh golongan bawah umur, termasuk melalui larangan iklan, larangan pameran terbuka, dan pengesahan umur ketika jualan.

“Industri vape setuju bahawa perlindungan terhadap remaja mesti diutamakan. Kita mahu vape hanya digunakan oleh orang dewasa yang ingin berhenti mengisap rokok,” katanya.

Justeru katanya, DPVM menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan perlaksanaan garis panduan Cukai Pro-Kesihatan sambil menguatkuasakan Akta 852 secara konsisten di seluruh negara.

"DPVM komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rangka kawalan vape yang seimbang, berkesan dan melindungi kepentingan kesihatan awam," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menolak usul cukai vape dinaikkan 10 kali ganda
  • DPVM mendukung pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan dan pengawalan vape melalui Akta 852
  • Kenaikan cukai secara mendadak pada vape dapat mendorong perokok kembali ke rokok konvensional
  • Cadangan cukai yang dianggap munasabah oleh DPVM adalah maksimum 80 sen per mililiter
  • DPVM meminta perlaksanaan garis panduan Cukai Pro-Kesihatan dan penetapan Akta 852 secara konsisten di seluruh negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!