'Kru bukan Islam pun tidak minum arak, hormat solat atas kapal Conscience' - Mohd Afandi

SHAH ALAM - Kesemua kru kapal Conscience yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) menunjukkan tahap disiplin dan rasa hormat yang tinggi terhadap agama Islam walaupun majoriti mereka bukan beragama Islam.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, sepanjang pelayaran di Laut Mediterranean, tiada seorang pun dalam kalangan mereka meminum arak atau melakukan perkara tidak senonoh di atas kapal.
“Mereka amat menghormati ajaran agama lain, bahkan menjaga laluan ketika kami sedang solat.
"Mereka cukup berdisiplin dan bertanggungjawab. Tiada yang dengan bangga mengaku ‘aku bukan Islam, jadi aku boleh minum arak’,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook pada Selasa.
Kenyataan itu muncul susulan isu tular baru-baru ini yang melibatkan penghidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan kesilapan sama tidak berulang.
Anwar menegaskan bahawa alasan kononnya minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan secara jelas melarang penghidangan arak dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan.
Isnin lalu, tular gambar menunjukkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri King Sing, termasuk beberapa keping gambar memperlihatkan tetamu memegang gelas berisi wain dan bir.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan bahawa kapal Conscience dijangka memasuki perairan zon merah pada jam 5 petang Rabu waktu Malaysia.
Ujarnya, sasaran itu ditetapkan bagi membolehkan sembilan kapal termasuk kapal utama Conscience dan kapal pelayaran Umm Saad tiba di Gaza sebelum Jumaat.
Misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri daripada lapan wakil dalam kapal Conscience termasuk Mohd Afandi, tiga doktor, dua pensyarah, seorang ahli lembaga MyCARE dan seorang wartawan Astro Awani.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September lalu bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Ringkasan AI
- Kru kapal Conscience dalam misi ke Gaza menunjukkan disiplin tinggi dan menghormati Islam
- Tiada alkohol atau tingkah laku tidak senonoh dilaporkan sepanjang pelayaran di Laut Mediterranean
- Misi ini berlangsung dalam suasana hormat terhadap agama lain, termasuk menjaga laluan ketika umat Islam solat
- Perdana Menteri Malaysia mengingatkan agar penghidangan alkohol di majlis rasmi kerajaan tidak berulang
- Misi Freedom Flotilla Coalition ini dijangka memasuki zon merah dan tiba di Gaza sebelum Jumaat dengan peserta dari 25 negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

